Dua lelaki mengaku tak bersalah pukul anjing hingga mati
GEORGETOWN - Dua lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan selepas memukul seekor anjing sehingga mati di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Rosli Mat Zin, 53, dan Suhaili Haron, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Sesyen Mohammad Khalid Ab Karim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosli yang merupakan seorang nelayan manakala Suhaili yang bekerja sebagai pemandu bas didakwa telah memukul seekor anjing di dalam longkang kira-kira jam 8.30 malam pada 8 Julai lalu di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung dekat sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan turut dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan tidak lebih 10 sebatan.
Mohammad Khalid menetapkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap tertuduh sebelum menambah syarat kedua-duanya perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan.
Tiada rayuan dikemukakan kedua-dua tertuduh terhadap jumlah ikat jamin tersebut.
Beliau juga meminta kedua-dua tertuduh melantik peguam berikutan kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
"Memandangkan anda telah meminta untuk dibicarkan, anda berdua perlu melantik peguam untuk mewakili anda.
“Mahkamah akan tetapkan tarikh untuk memberi anda masa bagi melantik peguam. Jika anda tidak mampu untuk melantik peguam, anda boleh mendapatkan khidmat daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)," katanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menggesa agar mahkamah menetapkan wang jaminan yang tinggi kerana ia merupakan kesalahan yang boleh diikat jamin selain akan mendorong tertuduh untuk hadir ke mahkamah.
Kes ditangguhkan pada 16 Ogos untuk sebutan kes.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu klip video beserta artikel bertajuk 'Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati' terkesan telah tular di media sosial pada jam 6 petang, Ahad.
Menerusi video berkenaan, terdapat dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
Susulan daripada itu, satu laporan dibuat oleh seorang anggota polis untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas menyaksikan klip video berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati, kejadian terbabit berlaku pada jam 8.38 malam, 8 Julai lalu di Kampung Telok Tempoyak di Batu Maung, Bayan Lepas.
Polis kemudiannya berjaya menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung itu di sekitar Batu Maung antara jam 11.45 malam, 9 Julai hingga 1 pagi, 10 Julai.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari dua lelaki serang anjing hingga mati
Tiga lelaki ditahan bantu kes pukul anjing sampai mati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!