Ternak ayam bawa pulangan lumayan

Optimis hala tuju kerajaan negeri dalam sektor sekuriti makanan

A
A
A

Mohamad Adam merancang membangunkan sekurang-kurangnya dua lagi reban ayam di kawasan berdekatan.
Mohamad Adam merancang membangunkan sekurang-kurangnya dua lagi reban ayam di kawasan berdekatan.

IPOH - Hasrat memajukan sektor pertanian ke arah sekuriti makanan menjadi pegangan kuat kepada Mohamad Adam Shah Mohamed Hussain, 40, untuk terlibat secara serius dalam bidang penternakan ayam daging.

Meskipun pernah menempuh pengalaman dikenakan saman pihak berkuasa hampir RM70,000 selain menanggung kerugian akibat kematian 10,000 ekor ayam, beliau nekad mahu memajukan perusahaan itu dalam skala lebih besar.

Anak jati kelahiran Tanjung Malim itu mula terlibat dalam penternakan ayam daging secara sistem integrasi ladang kontrak sejak 2018 di kawasan seluas 1.7 hektar di Kampung SMTD dekat Kampar.

Sehingga kini, dua reban ayam sistem tertutup moden yang dibangunkan mampu mengeluarkan sehingga 65,000 ekor ayam bagi satu-satu pengeluaran dengan janaan pendapatan sekitar RM30,000.

"Industri penternakan ayam daging ini banyaknya berkisar kepada pengiraan ‘volum’ iaitu lagi banyak kuantiti ada, maka akan lebih untung dapat dicapai.

"Apatah lagi permintaan untuk ayam daging tinggi, pengeluaran sedia ada pula masih belum dapat menampung permintaan daripada pengguna.

"Bagi saya, ini masa yang tepat ambil peluang memperluaskan lagi jaringan penternakan agar dapat menjamin bekalan makanan dalam tempoh jangka masa panjang," katanya.

Mohamad Adam berkata, sasarannya kini di bawah MA Agrofarm Sdn Bhd adalah untuk membangunkan sekurang-kurangnya dua lagi reban ayam di kawasan berdekatan agar tahap pengeluaran dapat digandakan.

Katanya, ketika ini tumbesaran ayam mencapai berat pasaran antara 1.8 hingga 2 kilogram boleh diperoleh dalam masa 35 hari dan proses kemasukan baharu anak ayam hanya boleh dilakukan dalam tempoh 15 ke 20 hari kemudian.

"Jika hasrat ini dapat direalisasikan, proses pengeluaran dapat dilakukan secara berterusan tanpa perlu menunggu tempoh 20 hari.

"Cumanya kekangan saya hadapi sekarang mendapatkan lokasi yang sesuai kerana kebanyakan tapak kosong yang ada di kawasan ini semuanya tanah pemilikan.

No Image Caption

"Penggunaan konsep reban ayam tertutup itu sendiri memerlukan kos yang tinggi kerana dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan selain mengelak pencemaran bau busuk dan serangan lalat," katanya.

Beliau mengakui, usaha tersebut bukan mudah, namun optimis dengan hala tuju kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang memberi penekanan tinggi sektor sekuriti makanan.

Awal pembabitan dalam perusahaan dahulu, beliau telah berhabis hampir RM2 juta menggunakan sepenuhnya modal daripada wang simpanan bagi urusan pembelian tanah sehinggalah pembinaan reban.

Pada tahun 2020 semasa negara berdepan pandemik Covid-19, Mohamad Adam turut menerima sokongan daripada PPPNP yang menawarkan pembiayaan menerusi Pinjaman Tanpa Faedah berjumlah RM80,000.

"Menerusi dana itu, dapatlah saya gunakan sebagai pusingan modal serta beberapa keperluan lain.

"Saya yakin lebih banyak bantuan akan disediakan kerajaan negeri dalam perkara ini terutama untuk mempermudah proses dan tatacara diperlukan seperti permohonan kebenaran merancang, bekalan elektrik dan air," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!