PRN: 'Terima kasih parti, saya rasa tenang' - Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - "Terima kasih kepada parti kerana telah membuat keputusan ini susulan daripada pelbagai desas-desus. Keputusan yang lebih awal ini dapat menghentikan segala spekulasi tentang isu ini," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pengumuman dibuat oleh DAP pusat yang bersetuju menamakannya sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung bulan depan, sekali gus menghentikan spekulasi beliau akan digugurkan sebagai Ketua Menteri negeri itu.

"Maka dengan terhentinya spekulasi, seluruh jentera dapat menumpukan kerja dalam PRN yang akan datang.

"Selain itu, jentera pilihan raya juga boleh mula menggembleng serta menyatupadukan tenaga untuk menghadapi pilihan raya dan bukannya dilemahkan keazaman, semangat perjuangan dengan ketidaktentuan yang terhasil kerana desas-desus sedemikian.

"Saya mohon semua jentera parti bersatu padu menerima keputusan pimpinan parti yang turut disokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ini merupakan satu mesej yang amat jelas bahawa apa yang berlaku pun sekarang, jentera PRN dipimpin oleh saya selaku Pengerusi PH Pulau Pinang," katanya selepas menghadiri pembukaan rasmi Pejabat Commerz Trade Services Sdn Bhd di GBS@Mayang di sini pada Jumaat.

Pada malam Khamis, Kon Yeow dinamakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos nanti.

Keputusan sebulat suara DAP itu diutarakan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi parti, Lim Guan Eng.

Kon Yeow (empat dari kiri) menyempurnakan pembukaan rasmi Pejabat Commerz Trade Services Sdn Bhd di GBS@Mayang pada Jumaat.
Kon Yeow (empat dari kiri) menyempurnakan pembukaan rasmi Pejabat Commerz Trade Services Sdn Bhd di GBS@Mayang pada Jumaat.

Anthony berkata, jawatankuasa sama juga memutuskan akan membuat pembaharuan besar dalam barisan Exco kerajaan negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir semula.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau kini berasa tenang selepas pelbagai spekulasi telah disebarkan dalam tempoh dua minggu ini.

"Sebenarnya sesuai dengan apa yang mendefinasikan saya, saya berasa tenang walaupun banyak desas-desus di lapangan dalam satu dua minggu ini, namun akhirnya parti telah membuat keputusan dan saya terharu dengan keputusan itu. Bagi saya ini satu pengiktirafan kepada saya dan kerajaan negeri yang saya pimpin.

"Sebenarnya dalam tempoh menuju ke akhir penggal ini, saya mengambil kesempatan untuk merumuskan pencapaian kerajaan negeri dan rancangan seterusnya yang telah menggariskan apa yang kita ingin lakukan sekiranya diberi kepercayaan dan selepas itu memperolehi mandat baharu daripada pengundi-pengundi.

"Saya anggap ini satu kepercayaan yang amat saya hargai tetapi ini satu lagi permulaan cabaran seterusnya adalah menghadapi PRN yang penuh cabaran (juga). Saya berharap dapat memimpin PH dan gabungan dengan BN untuk meyakinkan rakyat jelata bahawa kita adalah kerajaan negeri yang prorakyat, perpaduan, pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat," katanya.

Mengulas mengenai pembaharuan besar dalam barisan Exco Pulau Pinang yang mewakili DAP, Kon Yeow berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian selepas parti itu menang dalam PRN kelak.

"Kita belum menang lagi, maksud beliau (Anthony) mungkin kita perlu lihat dari segi pencalonan calon dahulu untuk menggariskan senarai calon-calon yang memenuhi aspirasi pimpinan pusat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!