PRN: Calon BN mampu tawan kerusi DUN Selangor - Azhari

Azhari Shaari
Azhari Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Bahagian Shah Alam yakin semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Selangor mampu ditawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua bahagian itu, Datuk Azhari Shaari berkata, ini kerana dengan kemenangan tersebut ia sedikit sebanyak dapat membantu Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kerajaan negeri itu.

"Seterusnya ia akan menjadi sebagai tanda aras menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan dengan kemenangan UMNO/BN pada semua kerusi dipertandingkan juga sebagai tanda aras sangat positif untuk UMNO menggilap serta dibina semula bagi hadapi PRU16.

"Perkara ini sangat penting walaupun UMNO tidak banyak kerusi yang dipertandingkan di DUN tapi hasil kerja itu menampakkan bahawa parti ini sentiasa kukuh.

“Saya mendoakan semua kerusi UMNO/BN bertanding di Selangor ini menang dan kekal di bawah Kerajaan Perpaduan dan memberi sumbangan penubuhan kerajaan negeri demi kestabilan dan agenda untuk rakyat akan mudah jika mempunyai kerajaan stabil,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online pada Jumaat.

Tambah Azhari, UMNO Bahagian Shah Alam telah mengadakan pertemuan dengan PH dan gabungan ini memberi kelebihan kepada kedua-dua parti itu.

“Kita telah pun mengadakan perjumpaan dengan PH dan melihat saling memerlukan. Secara ‘on paper’ memberi kelebihan dan ‘base on score sheet’ kedua-dua undi memang tidak ada masalah dan beri kelebihan pada parti untuk mengekalkan kemenangan.

“Kita telah bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan terutamanya daripada segi calon. UMNO Shah Alam menerima keputusan parti bahawa kedua-dua DUN iaitu Kota Anggerik dan Batu Tiga kekal di bawah PH dan calon mereka," katanya.

Tambahnya, tanggungjawab UMNO Shah Alam adalah memastikan kedua-dua DUN di Parlimen Shah Alam ini mesti dikekalkan dan menyumbang kepada penubuhan kerajaan negeri.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon bagi keenam-enam negeri pula ditetapkan pada 29 Julai, sementara pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!