Air Selangor atasi cabaran NRW

Abas (empat dari kanan) dan Ahmad Faizal (lima dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Kempen 'NRW Reduction Becoming Mainstream' di Kuala Lumpur pada Khamis.
Abas (empat dari kanan) dan Ahmad Faizal (lima dari kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Kempen 'NRW Reduction Becoming Mainstream' di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan Kempen ‘NRW Reduction Becoming Mainstream’ bertujuan untuk melibatkan orang awam dalam usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil atau Non Revenue Water (NRW).

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, pelancaran kempen tersebut merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk mengatasi cabaran NRW yang dihadapi dalam pengurusan perkhidmatan air sekali gus memberi tumpuan kepada penglibatan semua pihak dalam aktiviti pengurangan NRW.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini, penyedia perkhidmatan air dan pihak penguatkuasa, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merupakan pihak utama yang terlibat dalam usaha tersebut.

“Air Selangor ingin memastikan inisiatif pengurangan NRW dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberikan impak yang lebih besar selepas pelancaran kempen itu dengan meluas.

“Ini sejajar dengan matlamat sasaran jangka masa panjang untuk menurunkan kadar NRW kepada 25 peratus pada 2025 dan 23 peratus pada 2030.

“Kempen ini memperkenalkan dua inisiatif baharu, 'Air Selangor Leak Reporting Campaign' dan penggunaan teknologi Body-Worn Camera (BWC) oleh pegawai penguatkuasa Air Selangor,” jelas kenyataan itu.

Air Selangor berkata, melalui kempen tersebut, orang ramai digalakkan untuk melaporkan kebocoran yang berlaku dengan segera sama ada berkaitan paip atau meter, melalui ciri baharu di aplikasi Air Selangor.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, lr Abas Abdullah berkata, statistik semasa menunjukkan bahawa hanya 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kebocoran yang ditemui dilaporkan oleh orang awam berbanding negara Australia dan United Kingdom.

“Kedua-dua negara ini mencatatkan statistik jauh lebih tinggi dengan 90 peratus kebocoran dilaporkan oleh orang ramai.

“Melalui inisiatif ’Air Selangor Leak Reporting Campaign’, kami berharap dapat menggalakkan orang ramai melaporkan segera insiden kebocoran, yang akan membantu mengurangkan kadar NRW dengan lebih efektif,” kata Abas.

Majlis Pelancaran Kempen 'NRW Reduction Becoming Mainstream' telah diadakan pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!