Ziyad tempah slot ke Paralimpik Paris 2024
JAGUH lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli menempah slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meraih perak acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris pada Khamis.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan Muhammad Ziyad, atlet para pertama Malaysia layak secara merit ke temasya berprestij yang diadakan pada setiap empat tahun sekali.
Pada kejohanan di Stadium Charlety, atlet berusia 33 tahun itu melakukan lontaran 17.21 meter (m) namun tidak mampu menewaskan pencabar dari Ukraine, Maksym Koval yang membolot emas.
Koval melakukan lontaran sejauh 17.57m untuk mengungguli emas manakala tempat ketiga diperoleh rakan sepasukannya, Oleksandr Yarovyi dengan lontaran 16.99m.
Menurut penetapan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, empat atlet di kedudukan teratas pada Kejohanan Dunia Olahraga Para 2023 layak ke Sukan Paralimpik Paris tahun depan.
Mei lalu, Muhammad Ziyad meraih perak pada Sukan Para SEA, Kemboja dengan lontaran sejauh 17.20m. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!