Maritim terima penghargaan Bakamla cegah kapal pindah minyak haram

Tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki asing baru-baru ini menerima penghargaan dari Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla).
Tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki asing baru-baru ini menerima penghargaan dari Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla).
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki asing baru-baru ini menerima penghargaan daripada Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin berkata, penghargaan diberikan kepada Maritim Malaysia berikutan kerjasama diberikan dalam operasi menahan kapal tangki berkenaan yang didakwa terlibat dalam aktiviti pemindahan haram minyak mentah di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.

Hamid
Hamid

"Menerusi operasi tersebut Bakamla memohon bantuan Maritim Malaysia bagi menahan kapal tersebut setelah mendapati telah berlaku aktiviti pemindahan minyak yang mencurigakan kepada sebuah kapal lain.

"Bantuan diminta berikutan kapal tangki tersebut telah melepasi sempadan perairan republik tersebut seterusnya memasuki Zon Maritim Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, Maritim Malaysia kemudiannya mengatur gerak sebuah pesawat udara yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia ke lokasi yang telah dikenal pasti.

"Kru helikopter AW 139 Maritim Malaysia telah berjaya melakukan pintasan terhadap kapal tangki yang terlibat, seterusnya tujuh anggota STAR Team telah melakukan fast roping di atas kapal suspek bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

"Kapal tangki tersebut disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia yang dipercayai membawa lebih 200,000 tan metrik minyak mentah bernilai puluhan juta dolar," katanya.

Menurutnya, seramai 28 anak kapal warga Syria dan tiga penumpang lain ditahan menerusi operasi tesebut.

"Kejayaan ini secara langsung merupakan kerjasama bersepadu antara kedua pihak sekali gus menunjukkan keberkesanan latihan bersama di kawasan perairan Selat Melaka.

"Ia sekali gus membuktikan komitmen kedua belah pihak dalam memastikan keamanan dan keselamatan di perairan wilayah masing-masing," katanya.

Ujar Hamid, ia memberikan keyakinan kepada kapal-kapal dagang melalui kawasan ZEE dengan selamat serta menyumbang kepada kestabilan maritim serantau.

"Kerjasama antara kedua belah pihak akan terus dipertingkatkan dalam memerangi ancaman jenayah di kawasan perairan yang melibatkan negara-negara serantau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!