10 cedera kontena terbalik dipukul ribut

Lapan buah kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja terbalik dipukul ribut di tapak pembinaan di Kuala Jalan Baru, Balik Pulau pagi tadi.
Lapan buah kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja terbalik dipukul ribut di tapak pembinaan di Kuala Jalan Baru, Balik Pulau pagi tadi.
A
A
A

BALIK PULAU - [DIKEMASKINI] Seramai 10 warga Bangladesh nyaris maut apabila lapan buah kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja di tapak pembinaan terbalik akibat ribut pagi tadi.

Kejadian berlaku pada jam 9.45 pagi di sebuah tapak pembinaan Kuala Jalan Baru, Lorong Presint 1 di sini.

Bagaimanapun, kesemua mangsa warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun itu hanya mengalami cedera ringan dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat berserta angin kuat.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi.

"Sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan itu. Ketika tiba di lokasi, kita mendapati angin kuat dan hujan lebat. Siasatan mendapati, lapan buah kontena itu terbalik kerana keadaan angin kuat pada masa itu.

Salah seorang mangsa diberi rawatan awal oleh anggota bomba.
Salah seorang mangsa diberi rawatan awal oleh anggota bomba.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua mangsa berjaya menyelamatkan diri. Mereka didapati berlindung di kontena tersebut dari ribut dan hujan lebat," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel Berkaitan:

Saadon berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Kita menjalankan pemeriksaan lanjut di tempat kejadian kerana bimbang masih ada mangsa yang masih terperangkap. Berdasarkan keterangan mangsa yang selamat, kesemua yang terperangkap berjaya keluar menyelamatkan diri.

"Kita menamatkan operasi setelah memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!