Fitnah PM: Setiausaha Politik Anwar serah bukti kepada polis
SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi pada Khamis menyerahkan bukti kepada pihak polis berhubung kenyataan palsu bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan tersebut didakwa dilakukan oleh tiga individu iaitu aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.
Ahmad Farhan berkata, antara bukti yang diserahkan kepada pihak berkuasa adalah perjanjian pajakan selama 10 tahun bagi rumah di Sungai Long yang bermula dari Ogos 2020 sehingga Julai 2030 serta salinan geran menunjukkan bahawa pajakan tersebut telah didaftarkan.
Beliau berkata, pihaknya juga turut menyerahkan bukti-bukti pembayaran pajakan yang dibayar secara tahunan mulai tahun 2020 tanpa gagal.
"Malah untuk pajakan pada tahun 2023, ia dibayar seawal bulan November 2022 sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
"Untuk aset-aset lain kepunyaan Anwar terutamanya lot tanah di Port Dickson, rujukan boleh dibuat kepada Akuan Berkanun beliau bertarikh 9hb November 2022," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Khamis, Ahmad Farhan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Tambah beliau, laporan tersebut dibuat tanpa ada tekanan politik diberikan kepada pihak berkuasa di dalam menjalankan tugas mereka.
"Semua pihak perlu memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan tugas dengan sempurna dan menghentikan budaya tohmah serta fitnah yang amat dilarang di dalam agama," jelasnya.
Ahmad Farhan turut mendedahkan kenderaan Jaguar VCQ 8055 merupakan kereta terpakai sumbangan seorang simpatisan reformasi kepada Yayasan Aman pada tahun 2020 dan usia kenderaan tersebut ketika itu adalah melebihi 10 tahun.
"Kereta itu digunakan oleh Anwar semasa beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di dalam pentadbiran kerajaan.
"Walaupun didaftarkan di atas nama Yayasan Aman, kos penyelenggaraan kereta tersebut berserta insurans dan cukai jalan adalah ditanggung oleh Anwar dengan menggunakan duit peribadi beliau, tiada langsung dana dari Yayasan Aman digunakan untuk kenderaan tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!