PRN: DAP calonkan Kon Yeow Ketua Menteri Pulau Pinang
GEORGETOWN - Keputusan kepimpinan DAP menamakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini, menghentikan spekulasi dan desas-desus mengenai siapakah calon ketua menteri daripada parti itu.
Kon Yeow, yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada penggal lepas berkata, beliau berterima kasih kerana kepimpinan DAP memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menjadi ketua menteri bagi penggal kedua kelak.
"Saya amat bersyukur mendapat kepercayaan daripada pemimpin tertinggi DAP yang mencadangkan saya sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya pengundi-pengundi memilih kita untuk terus memerintah negeri ini dan saya juga menghargai sokongan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merestui pencalonan saya.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada parti kerana telah membuat keputusan ini ekoran daripada pelbagai desas-desus, keputusan awal ini dapat menghentikan segala spekulasi tentang isu ini dan yang penting untuk saya adalah memimpin jentera bagi memenangi sokongan rakyat dalam PRN demi meneruskan pembangunan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di New World Park, di sini pada Jumaat.
Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan berhubung keputusan Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang menamakan Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang kelak yang bermesyuarat malam tadi.
Menzahirkan bahawa beliau memerlukan semua pimpinan, keahlian dan penyokong-penyokong untuk terus bersama-samanya, Kon Yeow berkata: "Saya amat komited untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan sejak 2018 dan sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat tempatan dan pemegang taruh untuk membawa negeri dan rakyat ke tahap pembangunan yang tinggi.”
Mengenai senarai calon DAP bagi PRN, Kon Yeow berkata: "Kita diberi masa sedikit lagi dan kita perlu menyempurnakan senarai ini dalam sedikit masa lagi sebelum menghantar kepada pucuk pimpinan dalam masa terdekat." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!