PKPS 2.0 peluang lunas cukai tanpa penalti
KUANTAN - Orang ramai khususnya pembayar cukai baharu di negeri ini digesa tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan mereka melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 6 Jun lalu hingga 31 Mei 2024.
Pengarah Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pahang, Datuk Suhaili Sudin berkata, peluang itu terbuka kepada semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) dan tiada sebarang penalti dikenakan dalam tempoh itu.
Menurutnya, selain melaporkan pendapatan bagi pembayar cukai baharu, PKPS 2.0 juga memberi peluang kepada pembayar cukai sedia ada untuk mengemukakan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan LHDN.
"Peluang itu turut terbuka termasuk untuk pelaporan pendapatan bagi pembayar cukai sedia ada bagi tahun taksiran 2021 ke belakang dan pelaporan pelupusan aset tahun taksiran 2022 ke belakang," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Suhaili berkata, pelaporan pendapatan dalam tempoh PKSP 2.0 tidak melibatkan audit atau siasatan sebaliknya mereka hanya lapor berdasarkan maklumat yang diketahui.
"Kita terima secara baik pelaporan pendapatan itu untuk dicukaikan tanpa sebarang penalti dikenakan.
"Jadi mereka tidak perlu bimbang untuk tampil rebut peluang itu dengan segera sebelum tempohnya berakhir," jelasnya.
Sementara itu katanya, bagi pembayar cukai baharu, pengakuan sukarela itu perlu dibuat melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT)
“Ia perlu dikemukakan dalam tempoh pelaksanaan PKPS 2.0 sama ada secara e-Filing atau manual manakala bagi pembayar cukai sedia ada yang belum pernah mengemukakan BNCP atau BNCKHT, mereka perlu mengemukakannya dalam tempoh PKPS 2.0 juga secara e-Filing atau manual..
"Bagi individu yang telah mengemukakan BNCP namun terdapat pendapatan yang tidak dilaporkan, pengakuan sukarela perlu dikemukakan melalui pautan PKPS 2.0 portal rasmi LHDN," jelasnya.
Suhaili berkata, orang ramai di negeri ini yang berdepan masalah atau kurang faham dengan PKPS 2.0 itu boleh hadir kepada pejabat LHDN terdekat untuk maklumat lanjut.
"Terdapat enam pejabat LHDN di Pahang termasuk di Kuantan, Raub dan Temerloh serta pejabat satelit di Cameron Highlands, Jerantut dan di Bentong," katanya.
Beliau berkata, setakat ini sambutan terhadap program itu belum memuaskan justeru pelbagai kaedah akan dilaksanakan bagi mempromosi PKPS 2.0 di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!