PR1MA, MBSB Bank, SJKP meterai MoU tingkat pemilikan rumah

Nor Azam (empat dari kiri) bersama Mohd Nazri (lima dari kiri) dan Azlan (lima dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani.
Nor Azam (empat dari kiri) bersama Mohd Nazri (lima dari kiri) dan Azlan (lima dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) selari dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusi PR1MA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, MoU pertama yang ditandatangani oleh PR1MA adalah dengan MBSB Bank untuk meneroka kerjasama pembiayaan ekosistem PR1MA dalam membangunkan projeknya.

Menurutnya, melalui kolaborasi itu, PR1MA boleh mendapat sokongan kewangan daripada MBSB Bank agar pemaju, kontraktor dan pembekal projek di bawah PR1MA dapat memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual dan menjamin kualiti yang baik.

Katanya, PR1MA turut menandatangani MoU dengan MBSB Bank dan SJKP untuk memudahkan akses kepada pembeli yang ingin membeli rumah pertama mereka.

"Melalui MoU yang telah ditandatangani pada hari ini, saya yakin kami akan terus dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kadar pemilikan rumah buat rakyat Malaysia.

"Saya amat berterima kasih dengan SJKP dan MBSB Bank atas kerjasama ini, dan berharap agar kerjasama ini dapat berkekalan buat jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MoU pertama ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib disaksikan Azrulnizam serta Ahli Lembaga Pengarah MBSB Bank, Arul Sothy Mylvaganam.

MoU kedua pula dimeterai Mohd Nazri, Nor Azam dan Pengurus Besar Kanan SJKP, Azlan Mohd Agel yang disaksikan Azrulnizam, Arul dan Ketua Pegawai Operasi SJKP, Juanita Rusmini Abdul Jalil.

Melalui MoU kedua, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk menyediakan kemudahan pembiayaan yang menarik daripada MBSB Bank dan jaminan kerajaan daripada SJKP bagi pembeli kediaman PR1MA.

Kerjasama antara PR1MA, MBSB Bank dan SJKP itu selari dengan pengumuman semasa pembentangan Belanjawan 2023 bahawa kerajaan memperuntukkan jaminan tambahan sebanyak RM3 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan yang baharu.

Sementara itu, Mohd Nazri memberitahu, PR1MA akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak yang relevan seperti MBSB Bank dan SJKP dalam usaha untuk menyediakan rumah berkualiti untuk rakyat Malaysia.

"Saya yakin kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan swasta akan membawa manfaat berpanjangan buat rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman yang selesa buat keluarga mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Azam menegaskan, MBSB Bank yakin bahawa komitmen yang diberikan mereka akan menyokong PR1MA mencapai mandatnya dalam memenuhi objektif utamanya iaitu membina rumah mampu milik berkualiti tinggi.

"Kami juga yakin bahawa komitmen kami bersama SJKP akan membantu mengurangkan kekangan kewangan rakyat dan ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan dalam mengatasi masalah pemilikan rumah," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!