Pas Pelabur Strategik akan tarik lebih banyak FDI dan DDI
LANGKAH untuk memperkemas peranan penggalakan pelaburan selain Pas Pelabur Strategik dan Pas Lawatan Profesional Nomad Digital, akan memudahcara usaha menjalankan perniagaan serta menjana pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, tiga elemen tersebut merupakan elemen pengupaya yang penting bagi menyokong ekosistem pelaburan dan perindustrian negara ini.
Malah, tegasnya, ini akan turut membolehkan Malaysia untuk memanfaatkan secara strategik aspek mereka bentuk semula rantaian bekalan global yang menyaksikan banyak syarikat multinasional (MNC) menyasarkan ASEAN sebagai destinasi penempatan semula atau pengalihan dalam menjamin keselamatan barisan pengeluaran masing-masing dengan lebih baik.
"Pelaksanaan inisiatif bagi jangka masa terdekat ini turut melengkapkan pendekatan strategik yang sedang dimuktamadkan oleh MITI di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang akan mentransformasi segenap teras industri pembuatan kita.
"Pada masa sama, ini juga dapat membantu kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk berdaya maju dan cekap kos ke pasaran Asia Tenggara dan Asia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Usaha memudahcara terbabit telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada petang tadi.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, dari segi memperkemas fungsi sebanyak 31 agensi penggalakan pelaburan sedia ada, MITI telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha mengurangkan pertindihan peranan serta tanggungjawab agensi berkenaan.
Penekanan itu turut membabitkan aspek menangani pelbagai isu yang berbangkit di sepanjang perjalanan pelabur di negara ini.
Beliau berkata, ini termasuk tindakan memperkukuh perkara seperti membimbing dan penjagaan pasca pelaburan untuk pelabur dengan tumpuan ke atas usaha merealisasikan FDI dan DDI yang diluluskan dalam tempoh masa singkat.
"Kerajaan juga akan secara proaktif mengeluarkan Pas Pelaburan Strategik yang membolehkan kemasukan ke Malaysia pada asas kemasukan pelbagai bagi pelabur yang diluluskan.
"Langkah ini akan dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang membolehkan pelabur strategik dapat tinggal di negara ini bagi tempoh minimum lima tahun dan dengan kemungkinan lanjutan selama lima tahun lagi,” katanya.
Selain itu, bagi membantu menangani kekurangan tenaga kerja atau bakat industri berkemahiran tinggi serta profesional yang kritikal, kerajaan akan memperluas skop Pas Lawatan Profesional Nomad Digital untuk merangkumi kemahiran berkaitan pembuatan.
"Menerusi pas ini, profesional yang layak seperti pereka elektrik dan elektronik (E&E) dan litar bersepadu boleh berpindah ke Malaysia dan bekerja bebas sehingga dua tahun,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!