Che Puan Besar Khaleeda melawat Bella

Che Puan Besar Khaleeda meluangkan masa menyantuni Bella dalam satu majlis tertutup di sini pada Jumaat. - Foto: IG Che Puan Besar Khaleeda
Che Puan Besar Khaleeda meluangkan masa menyantuni Bella dalam satu majlis tertutup di sini pada Jumaat. - Foto: IG Che Puan Besar Khaleeda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che Puan Besar Khaleeda Bustamam meluangkan masa menyantuni remaja perempuan Sindrom Down, Bella, 13, dalam satu majlis tertutup di sini pada Jumaat.

Pertemuan tersebut dikongsikan dalam Facebook dan Instragram Che' Puan Besar yang memuat naik beberapa keping gambar ketika meluangkan masa melawat Bella dan rakan-rakannya.

Menerusi hantaran tersebut, Che' Puan Besar Khaleeda memaklumkan Bella yang sebelum ini menjadi mangsa dera telah dipindahkan ke Johor Bahru.

"Pada masa ini, adik Bella sudah dipindahkan ke Johor Bahru dan sedang menyesuaikan diri di tempat dan persekitaran yang baharu.

"Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan perkara ini khususnya Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor," kata Che' Puan Khaleeda.

Che' Puan Khaleeda merupakan antara individu lantang memperjuangkan kes penderaan kanak-kanak yang menimpa kanak-kanak istimewa seperti Bella selepas dianiaya dan diabaikan ketika berada dalam jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.

Pada 3 Mei lalu, Che' Puan Khaleeda merakamkan penghargaan kepada aktivis, peguam lantikan Tunku Ismail, pasukan pendakwaan dan individu yang prihatin dengan kes remaja terbabit

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sedyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya.

Bagaimanapun Siti Bainun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hukuman itu diperintah berjalan secara serentak bermula 3 Mei lalu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Remaja sindrom down itu sebelum ini mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!