Tengku Maimun berusaha tingkat kefahaman terhadap sistem kehakiman

Tengku Maimun pada sidang media di pejabatnya di Istana Kehakiman hari ini. -Foto Bernama
Tengku Maimun pada sidang media di pejabatnya di Istana Kehakiman hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan usaha memperkasakan persepsi masyarakat terhadap sistem kehakiman negara merupakan cabaran utama.

Anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu berkata, sebahagian besar orang awam hari ini dilihat lebih cenderung menulis isu berkaitan sistem kehakiman atau undang-undang menerusi media sosial sehingga ia menjadi tular.

"Walhal, mereka yang melakukan perkara (menulis) itu tidak mempunyai latar belakang mahupun tahap kefahaman tinggi mengenai sistem kehakiman negara.

"Justeru, di sinilah cabaran buat saya untuk meningkatkan keyakinan sekali gus, menguruskan persepsi masyarakat supaya memahami sistem (kehakiman) ini dengan lebih baik," katanya pada sidang akhbar khas di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Maimun, 60, turut menyarankan pihak media agar melaporkan kes mahkamah dengan tepat bagi mengelakkan timbulnya persepsi yang kurang baik dalam kalangan masyarakat.

Mengulas mengenai situasi mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sejak kebelakangan ini seperti perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau menjelaskan semua kes dilayan sama rata.

"Hakikatnya, masyarakat yang meletakkan kategori sesuatu perbicaraan itu merupkan kes utama ataupun tidak

"Sedangkan, daripada sudut mahkamah semua kes adalah sama yang perlu dilayan dan diuruskan secara seimbang," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya perancangan baharu yang bakal dilaksanakan Maimun menjelaskan, setakat ini pihaknya masih meneruskan kesinambungan rutin yang ditinggalkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

"Terlalu awal untuk melakukan pembaharuan kerana sebarang keputusan perlu dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama tiga hakim utama," jelasnya.

Tiga hakim itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!