Belum masa tunjuk bukti dana - Vida
USAHAWAN kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan belum tiba masa untuknya menunjukkan Proof of Funds (bukti dana) kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.
Beliau yang lebih dikenali Datuk Seri Vida terlebih dahulu mahu melihat beberapa perkara termasuk soal kewangan pasukan sebelum boleh memutuskan tindakan selanjutnya.
"Sebenarnya untuk permulaan ini tak perlu tunjuk pun Proof of Funds itu. Harga pun tak tahu berapa, macam mana nak tunjuk Proof of Funds.
"Boleh kita tunjuk tetapi selepas kita tengok Due Diligences (usaha wajar), tanggungan hutang dan pengesahan kewangan yang tertunggak itu, baru boleh ke peringkat seterusnya," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Pada Khamis, Norizam atau Zamsaham telah meminta bukti Vida dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif untuk menunjukkan bukti dana sebelum meneruskan proses urus niaga Kelantan FC.
Sebelum ini, Vida telah mengadakan pertemuan dengan Zamsaham di George Town, Pulau Pinang untuk membincangkan mengenai penjualan kelab tersebut yang disifatkan berlangsung positif.
Pencabar Vida iaitu Erfan Akif dilaporkan telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Zamsaham untuk membuktikan keseriusannya mengambil alih kelab pantai timur tersebut.
Dalam pada itu, Hasmiza telah mengadakan perbincangan kedua dengan Zamsaham pada Jumaat ketika perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV.
"Sekarang ini saya berada di Kelantan untuk tengok bola dan nak lihat prestasi pasukan. Mungkin ada perjumpaan dengan Zamsaham untuk melihat langkah seterusnya.
"Namun, saya melihat banyak ruang untuk saya mengambil Kelantan dan saya tidak akan berganjak untuk membeli pasukan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!