PM kota janji, salur bantuan secara menyeluruh
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat secara menyeluruh.
Beliau sebelum ini berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai Perdana Menteri ke-10, dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.
Perkara tersebut terbukti apabila sebanyak RM188 bilion daripada RM386.14 bilion Belanjawan 2023 sudah dibelanjakan kerajaan setakat Jun lalu.
Jumlah itu meliputi RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Anwar berkata, jumlah itu meliputi 49 peratus daripada nilai peruntukan iaitu lebih tinggi berbanding tempoh sama dari tahun-tahun sebelumnya.
"Jumlah yang dibelanjakan ini maknanya ada perubahan (dari segi) pelaksanaan cepat dan pantas, jauh lebih baik dari tahun sebelumnya
"Bagaimanapun, saya tidak berpuas hati dengan pencapaian perbelanjaan tersebut. Ia harus mencapai 60 peratus," katanya.
Selain itu, seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berjumlah RM600 mulai Isnin depan.
Pemberian bantuan itu menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.
Skim Perubatan Madani turut diperkenalkan khusus untuk golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta.
Kerajaan juga amat mengambil berat hal pendidikan terutamanya membabitkan pelajar daripada golongan B40 melalui elaun perantisan minimum RM800 sebulan
Semua pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun itu.
Ia bertujuan mengurangkan beban ditanggung pelajar yang tidak mempunyai sumber pendapatan selain bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Menurut Anwar, bantuan itu melibatkan semua pelajar di GLC.
"Pemberian elaun itu hasil daripada libat urus bersama pelajar. Mereka menekankan bahawa elaun ini untuk pengangkutan, makan dan minum selain penginapan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!