Najwan mohon maaf hantar komen kurang sopan
SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak berikutan hantarannya dianggap kurang sopan dalam satu kumpulan WhatsApp.
Menurut Najwan, beliau turut mengambil maklum penularan tangkap layar dari aplikasi WhatsApp yang memaparkan hantaran komen dibuat olehnya dalam kumpulan berkenaan di media sosial.
"Ia terkait keputusan @partisosialis (PSM) yang mengumumkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Meru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang beserta ayat yang telah mengundang salah tafsir dalam kalangan awam khususnya masyarakat India dan tidak sepatutnya ditulis oleh saya.
"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tulisan tersebut dan ia merupakan tanggapan dangkal saya terhadap PSM yang selama ini saya kenali sebagai sebuah parti politik yang paling ke hadapan dalam menjuarai isu-isu masyarakat India khususnya yang tinggal dan bekerja di estet.
"Kedangkalan ini saya akui adalah daripada kelemahan dan kekurangan saya yang tidak mengenali PSM secara dekat dan mendalam," ciapnya di laman Twitternya pada Sabtu.
Namun demikian, Najwan menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang bersifat perkauman dan memiliki prejudis terhadap mana-mana kaum termasuk India.
"Sebagai pemimpin, saya sentiasa menjaga kebajikan serta mengambil pendekatan dengan bersikap adil dan mesra terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum dan agama.
"Saya juga telah menghubungi Saudara @ASivarajan, Setiausaha Agung PSM untuk menyatakan permohonan maaf kepada pimpinan serta anggota PSM yang tersinggung dan salah faham terhadap kenyataan tersebut," katanya yang memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dan akan lebih berhati-hati terhadap sebarang kenyataan dikeluarkan di masa akan datang.
"Saya juga berharap isu ini dapat dinokhtahkan secara baik dan memberi jaminan ia tidak akan berulang lagi di masa akan datang," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!