[VIDEO] Vida sedia 'pasukan' urus Kelantan FC

A
A
A

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida sudah menyediakan pasukan untuk menguruskan Kelantan FC jika menjadi pemilik penuh ke atas The Red Warriors (TRW).

Vida berkata, pasukan tersebut disertai oleh individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak dan pengurusan bagi memastikan TRW kembali ke landasan terbaik.

"Setakat ini perbincangan berkait pembelian TRW sedang berjalan antara saya dengan Norizam Tukiman atau Zamsaham.

"Ketika ini sudah 50-50 sama ada untuk mengambil pasukan atau mencari kesepakatan lain yang difikirkan terbaik untuk pasukan. Lagipun Zamsaham sudah ada pengalaman dalam menguruskan bola sepak," katanya semasa sidang akhbar.

Menurut beliau, usaha yang dilakukan untuk menjadi pemilik kali ini dibuat kerana sayangkan pasukan Kelantan FC.

Ujarnya, semasa menjadi penaja Kelantan dahulu beliau lebih melihat kepada menjenamakan perniagaannya.

Vida bersama anak perempuannya, Cik B semasa sidang akhbar selepas perlawanan TRW menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Vida bersama anak perempuannya, Cik B semasa sidang akhbar selepas perlawanan TRW menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Dalam perkembangan lain, Vida menyambut baik cadangan untuk menubuhkan konsortium sebagaimana diutarakan.

Menurut beliau, bagaimanapun Kelantan tidak boleh mempunyai terlalu ramai nahkoda dalam pasukan.

"Kalau nak buat (konsortium) mereka perlu lantik dan beri mandat kepada seorang individu sahaja untuk membuat keputusan," katanya.

Mengulas mengenai nilai RM15 juta, Vida memberitahu, jumlah tersebut perlu diteliti dengan sebaik mungkin dan bukan sekadar melihat angka.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan Vida dilihat semakin serius untuk menjadi pemilik Kelantan FC apabila turun padang menyaksikan pertembungan TRW menentang JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Jumaat.

Anak kelahiran Tanah Merah itu duduk di sebelah pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!