Ramai mangsa penipuan rawatan kosmetik malu buat aduan

Dr Yeo (kiri) dan Abdul Malik menunjukkan gambar mangsa yang mengalami nanah selepas menjalani pembedahan bariatric.
Dr Yeo (kiri) dan Abdul Malik menunjukkan gambar mangsa yang mengalami nanah selepas menjalani pembedahan bariatric.
A
A
A

MELAKA - Kebanyakan mangsa penipuan rawatan kosmetik tidak berani tampil kerana malu dan tidak tahu cara untuk menyalurkan aduan.

Timbalan Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Abdul Malik Jamaran, mengakui situasi itu sering dihadapi pihaknya dan kerana itu MTPN akan terus berperanan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan kepada orang awam.

Abdul Malik
Abdul Malik

Menurutnya, kerugian yang dialami bukan sahaja mencecah ribuan ringgit malah ada yang menjalani rawatan doktor tidak bertauliah ini hingga meragut nyawa selain mengalami kecacatan kekal.

Katanya, mereka sanggup menggunakan perkhidmatan perubatan estetik tidak berdaftar kerana tertarik dengan tawaran harga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

"Mangsa, terpengaruh dengan harga iklan rawatan kosmetik seperti suntikan vitamin C, liposuction atau bariatrik dan pembedahan hidung yang jauh lebih murah.

"Tapi individu yang melakukan rawatan tidak bertauliah dan membahayakan nyawa pelanggan, hinggakan ada mangsa bernanah selepas pembedahan selain hidung senget," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Jelas beliau, berdasarkan data diperolehi, kebanyakan mangsa merupakan mereka yang berkerjaya berusia berusia antara 25 hingga 60 tahun.

Ujarnya, selain beroperasi secara haram di premis-premis bangunan kedai, doktor tidak bertauliah ini juga menawarkan khidmat terus ke pelanggan iaitu bergerak dari rumah ke rumah bagi mengelakkan kegiatan dihidu pihak berkuasa.

"Kita bimbang situasi ini akan menjadi trend, sedangkan individu itu hanya mengikuti kursus tiga atau enam bulan di luar negara dan langsung tiada tauliah.

"Sekurang-kurangnya dengan kesedaran yang MTPN lakukan dapat kurangkan kes penipuan sebegini meskipun sukar untuk dihentikan," katanya lagi.

Tambahnya, mereka yang teraniaya dalam kes seumpama itu boleh tampil ke cawangan MTPN setiap negeri untuk membuat aduan tanpa sebarang caj bayaran dikenakan.

Terdahulu MTPN merasmikan pejabat MTPN Melaka di Taman Kota Laksamana yang disempurnakan oleh Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr Kevy KV Yeo.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!