Pemuda UMNO akui kekok berkongsi pentas dengan PH

Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang yang diadakan malam Jumaat membariskan beberapa pemimpin muda dari PH dan BN.
Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang yang diadakan malam Jumaat membariskan beberapa pemimpin muda dari PH dan BN.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pemuda UMNO mengakui berasa kekok ketika berkongsi pentas buat kali pertama bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang pada Jumaat malam.

Program yang dihadiri lebih 200 orang itu diadakan di Bilik Gerakan Utama N12 Penanti di Guar Perahu, yang menampilkan sembilan penceramah terdiri daripada beberapa pemimpin antaranya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim; Naib Ketua Angkatan Muda Harapan, Young Syefura Othman dan wakil daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh berkata, walaupun agak kekok, namun program tersebut merupakan permulaan bagi Pemuda UMNO dan barisan pemimpin muda PH untuk bekerjasama dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan yang kini dianggotai PH dan Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah pentas pertama kita dengan PH di peringkat nasional yang bermula di Parlimen Permatang Pauh. Semestinya kekok, jika tak kekok tu, saya rasa bohong lah. Ini kerana, kita tidak pernah kongsi pentas bersama Kerajaan PH.

"Bagaimanapun, semuanya akan bermula dengan langkah pertama. Moga langkah pertama ini dapat memberi manfaat kepada rakyat, bukan saja kepada parti politik tetapi kepentingan orang muda hari ini dan bagaimana kita mahu majukan rakyat," katanya ketika ditemui selepas Program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan orang muda di Pulau Pinang, Akmal berkata, sokongan yang dilihat amat memberangsangkan dan akan dikekalkan sehingga hari pengundian.

"Nampak dari segi sokongan akar umbi daripada dua-dua belah pihak sangat baik dan amat memberangsangkan.

Akmal ketika menyampaikan ceramah dalam program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di Guar Perahu pada Jumaat.
Akmal ketika menyampaikan ceramah dalam program Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang di Guar Perahu pada Jumaat.



"Insya-ALLAH kita jangkakan semangat ini perlu dibawa hingga ke hari pengundian pada 12 Ogos nanti dan semoga semangat ini dapat dikekalkan," katanya.

Mengenai gerak kerja, Akmal berkata, pihaknya sudah bersiap sedia sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

"Kita baru enam bulan habis pilihan raya. Jadi sudah tentu kali ini, gerak kerjanya lebih kurang sama tetapi ada dua tiga portfolio yang kita nak fokuskan.

"Selain itu, kita akan gerak bersama Pemuda Kerajaan Perpaduan yang lain dalam jentera baharu iaitu Geng Perpaduan. Ini menunjukkan bahawa di mana-mana tempat yang kita akan bertanding, komitmen daripada Pemuda, insya-ALLAH kita akan bersama-sama untuk berkongsi ceramah, program-program dan sebagainya. Kita akan bersama-sama," katanya.

Akmal menambah, tiada parti dianggap ancaman kepada Pemuda dari kedua-dua blok BN dan PH kerana ia terpulang kepada rakyat untuk menilai parti yang benar-benar bagus.

"Bagi kami tak ada parti yang ada ancaman termasuk Perikatan Nasional, kita ada sistem demokrasi yang adil. Oleh itu, semua orang ada hak untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Terpulang kepada rakyat untuk menilai parti mana yang benar-benar membawa suara dan membantu apabila mereka (rakyat) berada dalam masalah dan bukannya parti sekadar retorik semata-mata. Saya ucapkan semoga berjaya kepada semua parti yang bertanding," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!