Kelantan FC perlu pemain baharu - Vera

Alfredo Vera
Alfredo Vera
A
A
A

KETUA jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera berpandangan pasukan itu memerlukan pemain baharu dalam usaha memperkemaskan lagi The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Beliau berharap pengurusan pasukan dapat melakukan sesuatu pada pintu perpindahan pemain yang sedang dibuka ketika ini.

"Soal itu (pemain baharu) perlu dirujuk kepada pihak pengurusan. Buat masa ini, saya akan terus berusaha dengan barisan pemain sedia ada," katanya semasa sidang akhbar.

Menurut beliau, secara peribadi Kelantan FC memerlukan pemain yang berkualiti untuk mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.

Ujarnya, jika perkara itu dapat direalisasikan ia bakal menjadi permulaan baik untuk pasukan.

Dalam perkembangan lain, Vera berlapang dada menerima kekalahan 0-5 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu.

Beliau akur dengan kehebatan pasukan pelawat yang jelas mempunyai persiapan lebih rapi dalam segenap aspek.

"Kita turut berdepan kesuntukan masa untuk melakukan persiapan bagi berdepan pendahulu Liga Super itu, tambahan pula dengan beberapa pemain baru menyertai pasukan sehari sebelum perlawanan.

"Namun kita harus akur dengan kekuatan JDT. Secara jujurnya saya merasakan JDT berada di tahap teratas berbanding pasukan lain," katanya.