Golongan profesional digesa proaktif selesai 5 cabaran negara - Muhyiddin
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara cabaran tersebut adalah ketidaktentuan ekonomi yang ketara disebabkan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19 yang mengakibatkan gangguan kepada perniagaan, kehilangan pekerjaan, mengurangkan pendapatan merentas sektor berbeza.
"Landskap ekonomi yang tidak menentu jelas menjadi cabaran dalam merancang satu strategi yang mampan untuk menstabilkan ekonomi dan kewangan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
Selain itu, ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, cabaran kedua adalah transformasi digital yang masih lagi dihadapi oleh rakyat di negara ini.
"Sewaktu saya memperkenalkan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), matlamatnya bukan sekadar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, malahan memperkukuhkan ekosistem digital dalam negara.
"Kerajaan ketika itu turut menubuhkan Digital National Berhad (DNB) yang bertujuan untuk mempercepatkan pelancaran 5G ke seluruh negara, selain menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga berpatutan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar," ujarnya.
Justeru itu, menurutnya, golongan profesional perlu menggesa kerajaan supaya meneruskan inisiatif itu untuk memastikan matlamat lebih ramai rakyat celik digital ini dapat dicapai.
Ulasnya, cabaran lain adalah membabitkan keseimbangan kerja-kehidupan dan kesihatan mental serta peluang pekerjaan terhad.
"Selain itu, ramai turut menghadapi cabaran kadar upah yang rendah. Malahan jurang ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan keperluan pasaran kerja semakin ketara apabila mereka terpaksa bersaing dengan tenaga profesional yang kehilangan pekerjaan sejak pandemik melanda.
"Ramai profesional muda juga bergelut untuk mencari jawatan peringkat kemasukan yang sesuai dengan kelayakan dan aspirasi kerjaya mereka," menurutnya.
Dalam pada itu, cabaran kelima pula melibatkan kekangan dan masalah kewangan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan kos sara hidup dan kadar upah yang rendah.
Katanya, kos sara hidup termasuk perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat menyukarkan rakyat untuk menjimatkan wang, mahupun melabur dalam kerjaya atau merancang masa depan mereka.
"Melihat kepada lima cabaran utama yang sedang kita hadapi ini, golongan profesional perlu mengambil peranan proaktif untuk membantu rakyat mendepani situasi yang saya sebutkan.
"Saya sering tekankan bahawa dalam aspek ekonomi, kita perlu berusaha supaya pencapaian kita menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!