Senjata makan tuan
GERIK - Seorang lelaki cedera parah apabila tertembak diri sendiri selepas senapang patah miliknya meletup ketika memburu di Kampung Tanjung Rambai di sini semalam.
Kejadian sekitar jam 5.50 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 35 tahun mahu menyimpan senjatanya selepas selesai memburu babi hutan di kebun miliknya.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, laporan kejadian itu diterima daripada Bahagian Kecemasan Hospital Gerik yang memaklumkan terdapat seorang mangsa diberi rawatan akibat terkena tembakan.
“Hasil maklumat awal, mangsa pergi memburu babi hutan dengan membawa selaras senapang patah buatan sendiri.
“Ketika mangsa ingin menyimpan senjata, ia tiba-tiba meletup dan terkena pada bahagian lutut serta lengan kiri mangsa,” katanya.
Menurutnya, akibat kecederaan itu, mangsa dirujuk ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!