Peluang UMNO rampas Terengganu mencabar, tapi tak mustahil - Penganalisis

UMNO perlu menyusun strategi dengan meletakkan calon yang bagus dan berintegriti bagi mencabar kepimpinan Pas di Terengganu. - Gambar kecil: Mohd Izani
UMNO perlu menyusun strategi dengan meletakkan calon yang bagus dan berintegriti bagi mencabar kepimpinan Pas di Terengganu. - Gambar kecil: Mohd Izani
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang untuk UMNO mengambil alih kepimpinan Terengganu sangat mencabar berdasarkan senario semasa dan tokoh yang sedia ada di negeri tersebut.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, bagaimanapun tidak mustahil bagi parti itu merampas kembali Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Menurut beliau, UMNO perlu menyusun strategi dengan meletakkan calon yang bagus dan berintegriti bagi mencabar kepimpinan Pas sekarang.

"Tiada yang mustahil dalam politik, sebenarnya peluang untuk UMNO menang dalam pilihan raya ada, namun bergantung kepada parti itu sendiri, macam mana UMNO gunakan kekuatan untuk menarik undi rakyat Terengganu.

"Sekarang ini, banyak faktor boleh mempengaruhi kemenangan parti antaranya pemilihan calon. Seperti yang kita tahu, kepimpinan Pas cukup kuat di Terengganu, oleh itu, calon dari UMNO juga perlu lah mempunyai kelebihan bagi mengatasi mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengeluarkan kenyataan politik Terengganu sentiasa berubah-ubah dan tidak mustahil UMNO menjadi kerajaan negeri selepas kekalahan pada 2018.

Beliau berkata, berdasarkan rekod kerajaan yang menerajui negeri tersebut ia sentiasa bersilih ganti di antara dua parti berkenaan.

Menurutnya, biarpun UMNO tewas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tetapi tidak mustahil parti itu kembali menjadi kerajaan.

Tambah Mohd Izani, isu-isu yang dimainkan oleh parti yang bertanding juga akan mempengaruhi jumlah undi yang diterima.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan semua calon atau parti akan membawa isu yang dekat dengan rakyat bukannya melibatkan agama serta perkauman.

"Pastikan PRN kali ini bersih daripada isu-isu yang tidak sepatutnya dan lebih fokus kepada kepentingan rakyat," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak mustahil UMNO kembali tawan Terengganu - Ahmad Said

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!