Perlu tingkat kesedaran keselamatan di Lebuhraya Pan Borneo

 Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUCHING - Program kesedaran keselamatan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo perlu dijalankan bagi membolehkan penggunanya menyesuaikan diri ketika melalui lebuh raya yang dalam peringkat akhir pembinaan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengenalan pusingan ‘P’ bagi menggantikan pusingan ‘U’ di sepanjang lebuh raya itu adalah antara beberapa peraturan yang masih belum dapat diikuti sepenuhnya sehingga menjadi antara punca kemalangan.

"Pan Borneo merupakan lebuh raya pertama di Sarawak yang merupakan jalan empat lorong dan dua hala di mana kita melihat kejadian kemalangan agak banyak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Advokasi Keselamatan Pan Borneo Sarawak di sini pada Sabtu.

Menurut statistik yang diperolehnya, beliau berkata, sebanyak 355 kes kemalangan maut telah dilaporkan antara Januari dan Jun tahun ini, yang angkanya dianggapnya membimbangkan.

Selain peraturan baru, sikap pengguna yang memandu melebihi had laju, melawan arus lalu lintas selain memintas penghadang jalan kerana mahu tiba cepat ke destinasi menjadi beberapa lagi punca kemalangan di lebuh raya itu, katanya.

Fadillah berkata, program jelajah yang dihadiri beliau pada Sabtu melibatkan pemimpin-pemimpin masyarakat bagi zon Kuching dan akan diadakan di bahagian-bahagian lain di Sarawak secara berperingkat.

Program berkenaan dianjurkan bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pengurusan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (PLPS) dan pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri itu.

Sementara itu, Fadillah berkata, beliau telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membantu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi mencari kaedah untuk mempercepatkan lagi penyiapan lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, dua daripada tiga seksyen pembinaan lebuh raya itu dijadualkan siap sebelum penghujung tahun ini yang terdiri dari Seksyen Sarikei dan Bukit Begunan, sementara Seksyen Lambir berdekatan Miri bakal disiapkan tahun depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!