Mission Impossible 7 paling terbaik, Tom Cruise masih hebat

Tom Cruise dan Hayley Atwell dalam Mission: Impossible Dead Reckoning Part One.
Tom Cruise dan Hayley Atwell dalam Mission: Impossible Dead Reckoning Part One.
A
A
A

HEBAT! Satu perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan hasil filem terbaharu yang diterbitkan dan dilakonkan aktor terkenal, Tom Cruise iaitu Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One.

Francais ketujuh dalam Mission Impossible itu cukup segala rencahnya baik aksi, lakonan, sinematografi sehinggalah sekecil-kecil bahagian teknikal.

Apa yang boleh dikatakan, bagi mereka yang dahagakan sebuah naskhah aksi yang mampu membuatkan anda tidak senang duduk di kerusi penonton, filem ini ada segalanya.

Esai Morales and Tom Cruise in Mission: Impossible Dead Reckoning - Part One from Paramount Pictures and Skydance.
Esai Morales and Tom Cruise in Mission: Impossible Dead Reckoning - Part One from Paramount Pictures and Skydance.

Malah pada usia 61 tahun, Cruise membuktikan aksinya masih mampu membakar adrenalin penonton yang duduk di hadapan layar lebar.

Tidak seperti kebanyakan pelakon lain yang menggunakan pelakon pendua atau body double, kebanyakan aksi dijayakan sendiri oleh Cruise.

Melompat keluar dari pesawat, mengendalikan motocross sehinggalah mendarat kemas ketika melakukan paragliding, semua itu dilakukan sendiri oleh aktor tersebut.

Segala aksi dalam filem ini dilakukan sendiri oleh Tom Cruise.
Segala aksi dalam filem ini dilakukan sendiri oleh Tom Cruise.

Malah aksinya meluncur dengan motosikal dari pergunungan tinggi menjadi ‘umpan’ buat produksi filem ini memancing perhatian peminat untuk datang menyaksikan sendiri di pawagam.

Difahamkan Cruise menjalani latihan lebih enam bulan, baik untuk mengendalikan motosikal, terjunan udara dan beribu latihan untuk memastikan hanya aksi terbaik dipaparkan di layar perak.

Bukan sekadar lakonan hebat, pengarah, Christopher McQuarrie mempersembahkan jalan cerita yang mantap. Perjalanan filem ini disulam dengan plot twist yang tidak dijangka dan sesekali jenaka menggelikan hati.

Kemunculan mereka bakal membuatkan penonton mengimbau kerjasama mereka ketika Fallout.
Kemunculan mereka bakal membuatkan penonton mengimbau kerjasama mereka ketika Fallout.

Pemilihan pelakon juga tidak kurang menariknya. Kemunculan Simon Pegg sebagai Benji Dunn dan Ving Rhames selaku Luther Stickell melengkapkan setiap tugas sukar Ethan Hunt.

Ditambah pula dengan muka baharu iaitu Hayley Atwell sebagai Grace, Vanessa Kirby (Alanna Mitsopolis), Pom Klementieff (Paris) dan Esai Morales (Gabriel) yang masing-masing mempunyai peranan mereka tersendiri untuk menyempurnakan lagi Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One itu.

Apa yang pasti, naskhah ini akan membuatkan penonton tidak sabar untuk menyaksikan bahagian kedua yang dijangka ditayangkan pada 2024.

Pada pandangan penulis, walaupun sudah masuk siri ketujuh, Mission Impossible semakin berbisa dan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia menjadi antara filem terbaik yang pernah ditonton setakat ini.

Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan Ethan Hunt melawan musuhnya iaitu The Entiti dan apakah misi sukar yang perlu diselesaikan itu, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan anda.

Oh ya, tiada babak tambahan di penghujung kredit akhir, jadi anda boleh melangkah keluar pawagam dengan perasaan tidak sabar untuk menyaksikan bahagian kedua filem ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!