Tukang cuci buat laporan palsu elak kantoi gadai emas
AMPANG - Seorang tukang cuci sanggup membuat laporan palsu konon diperas ugut RM25,000 oleh individu menyamar polis kerana bimbang emas yang digadai untuk membayar 'scammer' diketahui suami.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita warga Indonesia berusia 53 tahun itu pada 22 Jun lalu.
"Dia mendakwa dia didatangi pasangan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta kad pengenalan ketika berada di Bandar Baru Ampang.
"Susulan itu, pada jam 6 petang Rabu lalu, polis menahan wanita terbabit di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kerana disyaki membuat laporan palsu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Azam berkata, pihaknya turut merampas salinan laporan polis asal dan tiga keping resit bank bertarikh 20 Jun lalu.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian air kencing adalah negatif dadah," katanya.
Menurutnya, soal siasat mendapati wanita itu membuat laporan palsu adalah kerana enggan berterus terang dengan suami berkaitan emas yang digadaikan untuk pembayaran kepada pihak disyaki scammer.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 384/170/182 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan pemerasan/menyamar penjawat awam dan memalsukan keterangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!