'PN mahu proses pilihan raya adil' - Ahmad Samsuri
SHAH ALAM - Proses pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos depan perlu dilaksanakan secara adil untuk semua parti.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika parti lawan ada cadangan berhubung PRN yang memerlukan kesepakatan dari semua pihak, Perikatan Nasional (PN) juga berhak melakukan hal sama.
"Tidak boleh, oleh kerana kita ada kelebihan-kelebihan tertentu maka dicadangkan atau dibuat peraturan-peraturan tertentu, saya tidak merujuk kepada isu 3R (agama, raja dan kaum) sahaja tetapi isu-isu lain juga.
"Kalau nak buat cadangan atau perkara-perkara yang (mereka) nak, kami pun nak juga daripada lawan sebelah sana supaya tidak buat perkara-perkara tertentu.
"Tapi yang penting adalah kita mahu proses pilihan raya harus berada dalam permainan yang adil," katanya dalam sidang media Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.
Beliau bemikian ketika ditanya berhubung kenyataan pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang mencadangkan perjanjian diadakan untuk tidak mengekploitasi isu berkaitan 3R.
Pada Jumaat, Kit Siang yang juga bekas Pengerusi DAP meminta parti dan calon yang bertanding dalam enam PRN menandatangani perjanjian untuk tidak mengekploitasi isu berkaitan 3R supaya proses demokrasi pada 12 Ogos itu berlangsung dalam suasana bersih dan telus.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis telah membuka kertas siasatan membabitkan Muhamad Sanusi pada Rabu.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, selain Muhammad Sanusi, polis turut siasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang membabitkan kes 3R.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!