Bapa Altantuya pernah lihat gambar anak bersama dua lelaki

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa Altantuya Shaariibuu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau pernah melihat gambar wanita Mongolia yang dibunuh itu bersama dua lelaki seperti dikemukakan di mahkamah.

Bagaimanapun, Dr Shaariibuu Setev, 69, sedikit ‘naik angin’ apabila disoal beberapa kali oleh peguam mengenai gambar anaknya bersama dua lelaki itu yang dikatakan telah diubah.

Beliau turut mempersoal tindakan pihak peguam apabila kerap bertanya mengenai gambar berkenaan dan menyatakan dirinya pernah melihat gambar itu sekali sahaja.

"Anda semua bertanyakan kepada saya soalan yang sama. Kenapa tidak dipanggil saja orang di dalam gambar itu dan tanya mereka sendiri,” katanya pada perbicaraan saman RM100 juta yang difailkan beliau dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta kerajaan Malaysia.

Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Norina Bahadun, yang mewakili kerajaan Malaysia, mencadangkan kepada Shaariibuu bahawa gambar berkenaan tidak pernah ditunjukkan kepadanya oleh Altantuya. Shaariibuu juga tidak bersetuju apabila ditanya oleh Norina bahawa gambar berkenaan sebenarnya tidak wujud.

Beliau, yang juga profesor sambilan di Mongolian National University, berkata Altantuya pernah menunjukkan gambar itu kepadanya ketika wanita berkenaan datang ke pejabatnya di universiti berkenaan.

Kata Shaariibuu, gambar berukuran 8x12 sentimeter itu dikeluarkan oleh Altantuya daripada beg duitnya dan memberitahu, beliau tidak mencari filem gambar berkenaan selepas itu.

Ketika menjawab soalan peguamnya, Ramkarpal Singh yang bertanyakan tujuan Altantuya datang ke Malaysia, Shaariibuu berkata anaknya hanya menunjukkan gambar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya melihat gambar itu sekali saja. Jika saya tahu kepentingan gambar itu, saya pasti menyimpannya ketika itu. Banyak lagi fakta dan bukan hanya gambar itu,” katanya. Terdahulu, ketika peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Abdul Razak Baginda menanyakan kepada Shaariibuu sama ada beliau pernah ditunjukkan gambar sama oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ketika memberi keterangan, bapa Altantuya itu menyatakan tidak pernah.

Shaariibuu berkata beliau hanya melihat gambar itu sekali sahaja iaitu semasa ditunjukkan oleh Altantuya namun tidak dapat mengingat sepenuhnya.

Beliau turut memberitahu bahawa dirinya tidak dimaklumkan oleh PDRM siapa yang menghasilkan gambar yang dikatakan telah diubah itu.

Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua orang cucu lelaki mereka - Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga - memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan emosi dan trauma yang melayakkan mereka dibayar ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera itu bersambung pada Isnin hadapan. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!