Sindiket duti kereta mewah: SPRM buru beberapa lagi individu

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai berkata, pihaknya sedang memburu beberapa individu yang disyaki terbabit dengan rangkaian sindiket berkenaan.

"Kita percaya aktiviti yang dijalankan oleh sindiket berkenaan sudah lama kira-kira lebih lima tahun lalu, siasatan lebih mendalam sedang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

Sumber berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

Katanya, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam Khamis ketika hadir memberi keterangan.

Suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Isnin.

Ekoran penahanan itu, sumber memaklumkan, Bahagian Operasi Khas SPRM turut membuat serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!