Gesa senarai hitam syarikat kontraktor gagal bayar gaji minimum
PETALING JAYA - Kerajaan digesa untuk menyenarai hitam syarikat kontraktor yang gagal mematuhi undang-undang pekerjaan dalam memberikan gaji minimum kepada pekerja kontrak.
Aktivis Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Christine Gabriel berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana banyak syarikat kontraktor ingkar terhadap Perintah Gaji Minimum (GPM) 2022 iaitu pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500.
“Banyak aduan diterima oleh pekerja kontrak berkaitan kegagalan syarikat dalam memberikan gaji minimum. Alasan kontraktor untuk tidak membayar adalah kerana kerajaan dikatakan belum melaraskan tender bagi menaikkan upah.
“Walaupun kami menasihatkan kepada pekerja untuk membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja atau Jabatan Perhubungan Perusahaan, namun ramai di antara mereka yang dibuang kerja,” katanya ketika Konvensyen Suara Anak Muda, pada Sabtu.
Tambah Christine, petugas yang dibuang kerja hanya kerana menuntut hak sebagai seorang pekerja merupakan kes penindasan.
Katanya, kerajaan perlu mewujudkan satu sistem penghukuman serius iaitu senarai hitam syarikat kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang di Malaysia.
Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan untuk memansuhkan sistem kontrak supaya dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan.
Beritahu Christine, kebanyakan pekerja-pekerja seperti pembersihan, pengawal keselamatan di hospital ditawarkan kontrak jangka pendek.
“Biasanya syarikat kontraktor akan bertukar setiap dua tau tiga tahun maka pekerja akan menjadi petugas baharu yang tidak dapat menikmati kelebihan seperti cuti tahunan, cuti sakit dan sebagainya.
“Sistem kontrak ini secara tidak langsung menyebabkan pekerja tidak berani menyuarakan hak mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!