Dua lelaki lari pemeriksaan polis, lawan arus diberkas

Kejadian dua lelaki ditahan di Lebuhraya Kajang Silk turut tular di media sosial.
Kejadian dua lelaki ditahan di Lebuhraya Kajang Silk turut tular di media sosial.
A
A
A

KAJANG - Dua lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang melarikan diri dari pemeriksaan polis diberkas selepas kenderaan mereka melanggar kenderaan lain di kilometer 20.9 Lebuhraya Kajang Silk di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam 7.18 malam itu, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 30 dan 31 tahun memecut kenderaan yang dinaiki mereka selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

"Kenderaan suspek yang dikejar kereta peronda polis (MPV) dalam situasi melawan arus kemudian melanggar sebuah kereta lain dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta suspek terhenti di tengah lebuh raya sebelum pihak polis memberkas kedua-dua mereka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaid berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemui beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk jenayah pecah rumah dan curi kabel.

"Kedua-dua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan masing-masing memiliki 20 dan empat rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri semasa pemeriksaan polis.

"Kedua-dua suspek turut berhadapan dengan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain dan Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil atas kesalahan memiliki peralatan pecah rumah," katanya.