[VIDEO] PRN: Amanah tiada masalah kerusi sedikit daripada UMNO
JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berdepan masalah dengan peruntukan kerusi yang lebih kecil berbanding Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) enam negeri, 12 Ogos depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, secara dasarnya persefahaman berhubung pembahagian kerusi telah dicapai kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, secara dasar Amanah akan bertanding lebih 30 kerusi membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang dan pernah ditandingi sebelum ini.
"Tidak timbul isu kerana UMNO memang bertanding lebih banyak kerusi sebagai contoh di Negeri Sembilan, mereka menang banyak, Amanah pula menang tiga kerusi di situ.
"Persefahaman telah dicapai, jadi tiada masalah besar untuk Amanah bertanding pada PRN kali ini. Pada prinsipnya ia telah diputuskan di peringkat perundingan atas majlis kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
"Amanah akan meletakkan tujuh calon di Kelantan, tiga atau empat calon di Terengganu, tujuh atau lapan calon di Kedah, sembilan calon di Selangor dan tiga calon di Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Inisiatif Rahmah bersama Zero Healthcare Sdn Bhd di Paradigm Mall di sini pada Sabtu.
Pada 13 Julai lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mendapat lebih 100 kerusi untuk ditandingi dalam PRN enam negeri dan majlis pengumuman nama calon akan dibuat pada 21 Julai ini.
Dalam pada itu, Salahudin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menambah, seramai 800 ahli Amanah Johor akan digerakan bagi membantu kempen PRN.
"Kita akan gerakkan jentera-jentera ini untuk bantu, fokus kempen PRN di Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Tiga lagi negeri lain akan dibantu jentera Amanah negeri lain yang tidak terlibat PRN," katanya.
Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRN: BN tanding lebih 100 kerusi, umum calon 21 Julai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!