Tujuh pasang baju raya anak hangus
PASIR SALAK - "Mujur anak-anak semua ada di dapur, sempatlah kami lari menyelamatkan diri melalui pintu belakang, tak sampai 20 minit rumah dah hangus," kata Norazila Mohd Noor, 40, mangsa kebakaran sebuah rumah di Kampung Tersusun Air Kuning, lewat petang semalam.
Kejadian sekitar jam 7.45 malam itu berlaku ketika Norazila bersama tujuh anaknya berusia antara 14 hingga setahun lima bulan sedang mandi dan bersiap untuk menunaikan solat maghrib.
Dia berkata, kejadian itu disedari lebih awal anak keduanya berusia 13 tahun yang naik ke tingkat atas rumah untuk mengambil baju.
"Saya dengar dia menjerit ibu ada api berulang kali, keadaan jadi kelam kabut bila api sudah menyambar bahagian bawah rumah.
"Anak-anak ketika itu sudah menangis ketakutan, tanpa fikir panjang saya arahkan semua lari keluar menerusi pintu belakang," katanya.
Suaminya, Norhisham Abdul Rahman, 42, ketika kejadian baru sahaja pulang dari kerja.
Kejadian menyebabkan sembilan beranak itu tinggal sehelai sepinggang, malah sebuah trak, sebuah pacuan empat roda jenis Hilux dan empat motosikal yang diletakkan di luar rumah turut musnah terbakar.
Norazila berkata, tujuh pasang pakaian baharu milik anak-anaknya yang baru dibeli untuk dipakai pada hari raya juga tidak dapat diselamatkan.
Menurutnya, rumah pusaka milik keluarga suaminya itu baharu sahaja didiami mereka tiga bulan lalu selepas berpindah dari Ipoh.
"Walaupun masih terkejut, saya reda dan bersyukur anak-anak semuanya selamat, mungkin tuhan nak menguji kami pada Ramadan kali ini," katanya.
Sementara itu, Norhisham berkata, buat sementara waktu, mereka menumpang di kediaman kakaknya yang terletak berhampiran dengan rumah itu.
Katanya, banyak pihak tampil membantu termasuk mahu menyediakan penempatan sementara di dewan komuniti kampung.
"Kami sedar bukan mudah nak dapatkan rumah baHAru, ada proses perlu dilalui, kami berterima kasih atas apa juga bantuan diberikan," katanya.
Menceritakan insiden kebakaran itu, dia berkata, sebaik tiba di rumah dia terlibat percikan api dari tiang elektrik di luar rumah sebelum menyambar kotak suis utama.
"Api merebak terlalu cepat, sebaik semua berjaya keluar, barulah berlaku letupan, mungkin dari tong gas memasak," katanya.
Mereka ditemui sempena lawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik untuk membina rumah dengan kadar segera seperti menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
"Kita berdukacita melihat keadaan keluarga ini apatah lagi dengan tujuh anak yang masih kecil.
"Apa yang perlu diusahakan sekarang adalah membina semula rumah yang musnah ini agar dapat digunakan pada Aidilfitri ini.
"Kita tak dapat janji sepenuhnya, tetapi akan usahakan dan jika IBS ini boleh dibuat, maka kita boleh gunakan kaedah sama untuk membantu lebih banyak mangsa lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!