Muafakat tekad bela nasib asnaf

Adam (tengah) bersama sebahagian besar penerima sumbangan program Ihya Ramadan yang terdiri 50 golongan asnaf sekitar Parlimen Bagan Serai.
Adam (tengah) bersama sebahagian besar penerima sumbangan program Ihya Ramadan yang terdiri 50 golongan asnaf sekitar Parlimen Bagan Serai.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pertubuhan Muafakat Harapan Malaysia (Muafakat) Perak bertekad untuk membela nasib asnaf dan rakyat yang memerlukan bantuan di negeri secara menyeluruh pada masa hadapan.

Keyakinan itu diluahkan Pengerusinya, Adam Asmuni yang menyifatkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu kini berada di landasan terbaik untuk memberi manfaat kepada golongan kurang bernasib baik di Perak.

Mula ditubuhkan pada bulan Oktober 2018, Adam menegaskan Muafakat ketika dianggotai hampir 1,000 ahli dengan hampir 200 daripadanya terdiri anggota Muafakat Perak.

Menurutnya, idea penubuhan NGO itu wujud hasil persetujuan 10 bekas calon PRU14 dari Bersatu di seluruh negara yang tekad mahu terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat meskipun tidak terpilih menjadi wakil rakyat sebelum ini.

"Tewas pada PRU14 bukan penghalang untuk kami terus berkhidmat kepada rakyat dan atas dasar rasa tanggungjawab, Muafakat ditubuhkan sebagai platform kami menjalankan kerja kebajikan dan kemasyarakatan untuk membantu golongan memerlukan.

Adam (kiri) menyerahkan sumbangan beras kepada salah seorang penerima asnaf di Balai Tasawwur Islam, Bagan Serai hari ini.
Adam (kiri) menyerahkan sumbangan beras kepada salah seorang penerima asnaf di Balai Tasawwur Islam, Bagan Serai hari ini.

"Paling penting, dana dikeluarkan dalam setiap program dianjurkan Muafakat adalah hasil titik peluh kami sendiri tanpa dibantu kerajaan meskipun kami pernah bertanding di bawah tiket PH sebelum ini," katanya kepada media pada majlis motivasi dan sumbangan Ramadan di Balai Tasawwur Islam, Simpang Empat Semanggol di sini hari ini.

Adam berkata, sehingga kini, Muafakat Perak sudah mengadakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan seperti sumbangan asnaf, gotong-royong membersihkan masjid dan surau, sumbangan bubur asyura dan pemberian kerusi roda kepada insan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Muafakat Perak menyumbangkan beras dan barangan keperluan harian bersesuaian kepada 50 golongan asnaf di sekitar Parlimen Bagan Serai dan kita turut membawa tokoh penceramah terkemuka dari Kedah, Ustaz Wan Hizam untuk memberi ceramah motivasi sempena Ramadan kepada golongan asnaf yang hadir.

"Muafakat Perak bertekad untuk menganjurkan program kebajikan sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan seramai mungkin golongan kurang bernasib baik di negeri ini disantuni dan diraikan pada bulan penuh keberkatan ini," katanya.

Adam berkata, pihaknya turut merancang mengadakan majlis iftar perdana bersama golongan anak yatim pada bulan Ramadan ini di samping memberikan sumbangan pakaian hari raya kepada mereka.

Adam (kanan) turut membantu sebahagian ahli Muafakat Perak menyediakan juadah berbuka puasa untuk dinikmati 50 golongan asnaf sekitar Parlimen Bagan Serai.
Adam (kanan) turut membantu sebahagian ahli Muafakat Perak menyediakan juadah berbuka puasa untuk dinikmati 50 golongan asnaf sekitar Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya, di sebalik status sebagai bekas calon pilihanraya, Muafakat tidak pernah bersikap memilih bulu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kebajikan kepada semua individu yang layak tanpa mengambil kira fahaman politik.

"Dalam melaksanakan kerja kebajikan, fahaman politik perlu diketepikan kerana paling penting, usaha membantu golongan memerlukan dapat memberi impak positif dalam kehidupan mereka.

"Saya juga mengalakkan penyertaan lebih ramai rakyat negara ini ke dalam NGO Muafakat kerana ahli kami terdiri masyarakat berbilang bangsa, pelbagai lapisan usia dan paling penting memiliki kepelbagaian kemahiran dan kepakaran untuk sama-sama menggembleng tenaga menjayakan sesuatu program dirancang," katanya.

Adam berkata, mana-mana pihak atau individu yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Maybank Islamic 562357519729 atas nama Pertubuhan Muafakat Harapan Maalaysia atau hubunginya di talian 010-8666621

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!