Perhilitan berjaya tangkap, pindah 'Awang Chiku'
GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah dewasa jantan berusia antara 15 dan 20 tahun yang dipercayai mengganggu tanaman lebih 200 peneroka di tanah rancangan Felda Chiku 2, di sini.
Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohamad Syazwan Fais Mohamad Rodzi berkata, operasi dilaksanakan selepas gajah yang dianggarkan seberat 2.3 tan itu ditangkap pada Khamis lepas.
"Operasi pemindahan gajah ini mengambil masa hampir enam jam bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada 2 petang.
"Operasi menjejak dan menangkap gajah melibatkan 30 anggota Perhilitan daripada Unit Tangkapan Gajah Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka dan Pusat Konservasi Kebangsaan," katanya kepada pemberita ketika operasi pemindahan gajah di Felda Chiku 2 pada Sabtu.
Menurutnya tangkapan pada Sabtu menggunakan dua ekor gajah denak betina bernama Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka untuk memujuk sekali gus membawa gajah liar yang diberi nama ‘Awang Chiku’ itu keluar dari kawasan ladang kelapa sawit.
Mohamad Syazwan berkata, gajah yang mempunyai ukuran tapak kaki 15 inci itu dipercayai tersesat daripada kumpulan 30 gajah yang berasal dari Gunung Rabong, di sini.
"Awang Chiku berjaya ditangkap Khamis lepas setelah operasi pengesanan dijalankan susulan aduan yang diterima. Ia akan dirawat dan dilepaskan ke habitat lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, pemilik ladang sawit, Shafiin Abd Rahman, 78, berkata, dia bersyukur dengan tindakan pantas pihak Perhilitan mengesan dan menangkap gajah liar yang mengganggu tanaman mereka membabitkan kawasan sekitar Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2.
"Tangkapan ini adalah tindakan cekap Perhilitan yang berjaya mengesan dan menangkap gajah ini pada hari yang sama. Hari ini kita dapat saksikan operasi pemindahan gajah berkenaan,” katanya.
Md Jusoh Md Ali, 74, pula berkata, dia kerugian hampir RM30,000 akibat tanaman dimusnahkan gajah liar berkenaan sejak enam bulan lepas.
"Diharapkan dengan penangkapan gajah liar ini akan menyelesaikan masalah pencerobohan ladang tanaman penduduk selama ini. Gajah berkenaan bukan sahaja merosakkan tanaman, malah berkeliaran di kawasan perumahan baru-baru ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!