Elaun RM800 pelatih industri bukti kerajaan faham situasi pelajar

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberian elaun perantisan minimum RM800 sebulan kepada pelatih industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap situasi pelajar institut pengajian tinggi yang berdepan kesukaran susulan peningkatan kos sara hidup.

Pelajar Universiti Malaysia Kelantan, Nurulnajiha Ahmad Jame, 26, berkata, kebanyakan penuntut bukan daripada keluarga yang berkemampuan atau menerima biasiswa, jadi mereka berdepan masalah kewangan semasa menjalani latihan industri.

"Ini disebabkan mereka perlu menjalani tugasan harian dan kehidupan seperti mereka yang sudah bekerja. Keadaan ini sebenarnya sangat sukar kerana pelajar perlu menyara diri mereka tanpa mendapat elaun daripada mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Justeru, penuntut tahun ketiga yang bakal bergelar Doktor Perubatan Veterinar itu berharap syarikat swasta dapat turut serta dalam pelaksanaan dasar ini pada masa akan datang kerana ia mampu membantu meringankan beban ketika pelajar menjalani latihan industri.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan GLC akan diberi elaun perantisan minimum RM800 sebulan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kementerian itu telah menetapkan supaya semua GLC berbuat demikian bagi meringankan beban pelajar daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

Bagi penuntut Universiti Utara Malaysia, Nurul Natasha Alhadi, 24, peningkatan elaun perantisan secara tidak langsung akan menjadikan pelajar lebih bersemangat untuk ke tempat latihan industri.

Penuntut tahun ketiga Sarjana Muda Teknologi Media itu berkata, ini kerana sesetengah pelajar terpaksa membuat kerja sambilan pada cuti mingguan bagi menampung perbelanjaan semasa latihan industri.

Katanya, dia memahami keluhan rakan pelajar kerana jumlah elaun yang diberikan sebelum ini tidak cukup untuk membayar sewa bilik atau rumah, kos pengangkutan dan perbelanjaan keperluan harian lain.

"Oleh itu, saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memahami keadaan pelajar masa kini dengan kos sara hidup yang telah meningkat apatah lagi jika pelajar menjalani latihan industri di bandar,” katanya.

Pekerja swasta, Zalina Ibrahim, 58, pula berkata, komitmen kerajaan yang menetapkan supaya semua pejabat kerajaan dan GLC membayar elaun perantisan minimum RM800 sekali gus dapat membantu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan.

Dia berkata, dengan kenaikan elaun itu, ibu bapa tidak perlu lagi susah hati memikirkan nasib anak mereka yang akan menjalani latihan industri.

"Ketika ini, dasar itu (elaun perantisan RM800) hanya terpakai bagi latihan industri di jabatan kerajaan dan GLC.

"Jadi saya harap ia dapat diwajibkan kepada industri swasta juga,” katanya yang memiliki seorang anak sedang menuntut di IPT dan bakal menjalani latihan industri tidak lama lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!