Tarik undi atas pagar untuk menang di Kelantan - Rafizi

Rafizi (tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan, Pasir Puteh pada Sabtu.
Rafizi (tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan, Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berpandangan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) perlu menarik sokongan pengundi atas pagar jika mahu menang di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau berkata, hal ini kerana kumpulan itu akan menjadi penentu kepada kemenangan nanti.

"Kita perlu meyakinkan pengundi atas pagar menggunakan fakta.

"Faktanya.... Kelantan paling miskin, kemajuan ekonomi paling ke belakang dan peruntukan yang diberikan kepada negeri ini bukan sedikit oleh kerajaan pusat.

"Bila sebut Kelantan dianaktirikan itu tidak betul. Kelantan dapat peruntukan besar setiap tahun begitu juga soal air. Isu air bukan melibatkan peruntukan sebaliknya membabitkan banyak perkara-perkara lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan sedia membantu dengan syarat ia mesti dikawal selia sebaik mungkin.

Ujarnya, bentuk kempen dan isu-isu yang dibawa akan menjadi penentu dalam usaha memenangi hati pengundi atas pagar.

Rafizi memberitahu, setiap isu akan diolah sebaik mungkin supaya ia dapat sampai dan diterima dengan baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!