Peruntukan tambahan RM150 juta selenggara kemudahan agensi KDN
KULIM - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.
Beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM45 juta khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf serta perolehan peralatan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan RM40 juta bagi infrastruktur serta fasiliti berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
"Untuk kuarters PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang ada lantai pecah, tandas (bermasalah), saya luluskan peruntukan RM50 juta (untuk penyelenggaraan kuarters PDRM dan balai).
"Saya juga luluskan RM15 juta untuk Jabatan Penjara (kerja-kerja pembaikan kuarters dan fasiliti Jabatan Penjara)," katanya ketika berucap pada Program Malaysia Madani Perdana Menteri bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM di Batalion 2 PGA Kulim pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, laporan tindakan terhadap pengumuman peruntukan RM150 juta bagi projek itu perlu disediakan oleh kementerian dan pihak yang berkaitan dengan kadar segera untuk dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
"Saya umum hari ini, hari Isnin mesti ada tindakan daripada Kementerian Kewangan dan minggu berikutnya ada tindakan. IGP (Ketua Polis Negara), KSU (Ketua Setiausaha KDN) serta Menteri boleh pantau kemajuannya.
"Maknanya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, laporan mesti ada atas meja tentang pengumuman Perdana Menteri pada Sabtu (hari ini) kerana kita tidak mahu ada orang merasakan kerja Menteri, kerja Perdana Menteri umum sahaja tetapi tidak melaksanakan," katanya.
Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya pada tahun ini, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM350 juta untuk menaik taraf kemudahan agensi KDN dalam usaha memastikan kebajikan anggota keselamatan terpelihara.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM200 juta bagi penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah KDN termasuk PDRM dan Jabatan Penjara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!