Sukan Asia 2022: Acara berpasukan lelaki taruhan pingat emas - BAM
ACARA berpasukan lelaki menjadi taruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjelmakan kilauan pingat emas pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
Bagaimanapun, skuad negara tidak akan menyertai acara berpasukan wanita sebaliknya acara perseorangan dan beregu wanita.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika mengumumkan senarai nama pemain menggalas cabaran negara di Hangzhou berkata, BAM akan mempertaruhkan skuad terkuat bagi acara berpasukan lelaki disertai jaguh perseorangan profesional, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei manakala acara beregu dibarisi gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat-Chen Tang Jie.
Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap agar pasukan lelaki mampu mencipta sejarah merangkul emas sulung acara tersebut.
“Ada peluang (raih emas), kesemua pasukan mempunyai peluang sama rata termasukla kita,” katanya pada sidang akhbar pengumuman barisan negara oleh Norza selepas Mesyuarat Majlis BAM pada Sabtu.
Norza berkata, bagi saingan perseorangan wanita, bekas juara remaa dunia dua kali, Goh Jin Wei dan K.Lethsanaa akan menggalas tugas negara manakala Pearly Tan-M. Thinaah dan Go Pei Kee-Valeree Siow menggalas misi menerusi beregu wanita.
Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula bakal membawa cabaran negara dalam acara beregu campuran.
Sejak badminton diperkenalkan pada edisi 1962 di Jakarta, Malaysia belum pernah merangkul emas acara berpasukan lelaki mahupun wanita manakala bekas beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul wakil negara terakhir memenangi emas pada edisi 2006 di Doha.
Justeru, Rexy berharap agar Aaron-Wooi Yik dapat mengekalkan prestasi semasa mereka menjelang aksi di Hangzhou terutama selepas bergelar naib juara Terbuka Indonesia 2023 selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 17-21, 18-21, dalam aksi final.
Sementara itu, bekas pakar beregu Indonesia itu optimis Zii Jia akan memberikan komitmen penuh di Sukan Asia nanti selepas terpalit dengan kontroversi yang menyaksikannya menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dalam usaha memberi tumpuan menghadapi Kejohanan Dunia 2021 di Jepun, Ogos lalu.
“Saya percaya pengarah kejurulatihannya Wong Tat Meng akan beri nasihat (bermain di Sukan Asia) kerana ia juga menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris,” katanya.
Kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang sedang rancak berlangsung sejak 1 Mei lepas akan berakhir pada 28 April 2024 manakala temasya sukan terbesar dunia itu pula dijadual membuka tirai 26 Julai hingga 11 Ogos.
Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 sepatutnya berlangsung tahun lalu tetapi ditangguh sehingga tahun ini ekoran pandemik Covid-19.
SKUAD BADMINTON NEGARA KE HANGZHOU 2022
LELAKI:
Perseorangan:
Lee Zii Jia; Ng Tze Yong
Beregu:
Aaron Chia/Soh Wooi Yik; Ong Yew Sin/Teo Ee Yi
Berpasukan:
Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi, Goh Soon Huat/ Chen Tang Jie
WANITA:
Perseorangan:
Goh Jin Wei; K, Letshanaa
Beregu:
Pearly Tan/M. Thinaah; Go Pei Kee/Valeree Siow
Beregu Campuran:
Goh Soon Huat/Shevon Lai; Chen Tang Jie/Toh Ee Wei
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!