Lelaki warga Indonesia maut tertimbus batu kuari
KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat tertimbus batu dalam kejadian di kuari berhampiran Bandar Saujana Putra di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.08 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa dikenali sebagai Mujiono berusia 49 tahun dipercayai terjatuh ke dalam saluran lubang di kuari terbabit ketika menjalankan kerja-kerja pemindahan batu kerikil.
"Mangsa dipercayai terperangkap dan tertimbus dengan anggaran kedalaman enam meter," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, anggota bomba terlibat kemudian menjalankan usaha untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pada jam 7 petang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!