KL City, Negeri Sembilan sama kuat di Cheras
FINALIS Piala FA, Kuala Lumpur (KL) City FC perlu segera memperkemaskan jentera pasukan sekiranya berhasrat merangkul kejuaraan tersebut musim ini.
Ia selepas skuad kendalian Bojan Hodak itu sekadar melakar keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Sebagai rekod, perlawanan akhir Piala FA bakal mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 22 Julai ini.
Pada pertemuan itu, KL City kendalian Bojan Hodak bermula garang apabila menguasai rentak permainan, namun percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Bagaimanapun tandukan padu Romel Morales pada minit ke-40 memisahkan KL City FC dan Negeri Sembilan FC pada separuh masa pertama.
Morales yang menterjemahkan hantaran lintang Zhafri Yahya tenang menewaskan penjaga gol skuad Rusa, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan kembali memperkemaskan permainan berjaya menyaingi pasukan tuan rumah dengan melancarkan beberapa percubaan.
Namun ketumpulan penyudah menyaksikan anak buah K Devan mensia-siakan beberapa peluang untuk mendapatkan gol penyamaan.
Begitupun, kerja keras Negeri Sembilan akhirnya berjaya membuahkan hasil menerusi jaringan Zainal Abidin Jamil pada minit ke-94 untuk kedudukan seri 1-1 tamat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!