Masa terbaik Malaysia libas Thailand

Skuad sepak takraw negara mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi separuh akhir di Bangkok pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Jais
Skuad sepak takraw negara mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi separuh akhir di Bangkok pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Jais
A
A
A

SKUAD takraw negara akan cuba menampilkan persembahan luar biasa sekali gus mencipta kejutan ke atas musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan Kejohanan Sepak takraw Piala Raja Thai 2023 pada Ahad.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, Thailand memiliki sedikit kelebihan namun percaya para pemainnya mampu menandingi pasukan Gajah Perang itu.

"Kita akan cuba yang terbaik dan saya sudah nasihatkan kepada pemain untuk siapkan fizikal dan mental bagi mengharungi perlawanan getir ini.

"Daripada segi serangan dan bertahan memang Thailand lebih baik. Sebab itu, kita sudah mengumpul video permainan Thailand dan mengkaji corak permainan mereka untuk melihat kelebihan atau kelemahan yang boleh kita ambil peluang.

"Saya yakin pemain akan bersedia sebaik mungkin dan fokus kepada permainan tanpa memikirkan kelebihan yang dimiliki lawan. Semasa Sukan SEA baru-baru ini juga kita mampu curi satu mata dalam acara berpasukan dan itu juga satu perkara positif menjelang perlawanan esok,"katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Skuad sepak takraw negara mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi separuh akhir di Bangkok pada Sabtu.

Regu pertama negara yang diperkuatkan oleh Mohamad Azlan Alias, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Farhan Adam tidak menghadapi masalah untuk menang 21-7, 21-14.

Gandingan Muhammad Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir mengesahkan kemenangan pasukan negara dengan menang 21-16, 21-12.

Rabu lalu, skuad sepak takraw negara terpaksa berpuas hati meraih pingat perak dalam acara antara regu selepas tewas kepada Thailand.

Dalam pada itu, Ahmad Jais juga mengesahkan pasukan negara akan turun dengan kekuatan penuh selepas kesemua pemain bebas daripada kecederaan.

"Kita juga turut dapat gambaran untuk aksi esok ketika tewas menerusi acara regu baru-baru ini. Senarai pemain juga dalam penilaian, namun tidak ada rombakan besar berbanding perlawanan separuh akhir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!