137 kali menderma darah
KUANTAN - Niat untuk menyelamatkan nyawa insan lain telah mendorong warga emas untuk menderma darah sebanyak 137 kali sejak 1989.
Sejak itu, Seet Soon Kok, 57, berkata, secara tidak langsung telah menyumbangkan peluang kehidupan kepada mereka yang memerlukan bantuan darah.
"Derma darah ini boleh tolong orang, jadi sebab itu saya akan terus derma (darah) selagi termampu.
"Saya juga ada mengajak anak dan isteri untuk menderma dan mereka juga seronok kerana dapat membantu orang lain yang memerlukan," katanya.
Dia berkata demikian ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 peringkat Pahang di Banquet Hall, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disini pada Sabtu.
Soon Kok antara 25 penderma darah terbanyak di Pahang menerima anugerah whole Blood yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain bagi mewakili Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Sook Kok memberitahu sejak menderma kesihatan semakin sihat dan tidak lagi dinaiki bisul seperti 34 tahun yang lalu.
"Dulu saya sering dinaiki bisul mungkin sebabkan terlalu banyak darah kotor, namun selepas menderma darah, ia (bisul) semakin berkurangan dan kini sudah tiada," ujarnya yang tidak mengalami sebarang komplikasi sepanjang menderma darah.
Seorang lagi penderma, Leong Chee Kim, 53, mengakui sudah menderma darah sebanyak 115 kali dengan niat sama.
Guru tuisyen itu berkata, bukan mudah untuk seseorang tampil menderma darah, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai satu rutin.
"Saya mula derma darah ketika usia 21 tahun dan sehingga sekarang masih lagi menderma. Niat saya adalah untuk kesihatan selain mahu membantu orang ramai yang memerlukan darah," ujarnya.
Malah katanya, dia bersyukur dalam usianya sekarang tidak pernah berdepan masalah kesihatan yang serius.
Justeru itu katanya, masyarakat sangat digalakkan menderma darah kerana ia baik untuk kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!