[VIDEO] Ahli, bekas ahli UMNO undi 'musuh' satu pengkhianatan besar - Anwar
YAN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu supaya tidak sama sekali memberikan undi mereka kepada musuh.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan ahli UMNO mahupun bekas ahli UMNO mengundi musuh adalah satu pengkhianatan besar terhadap parti itu.
"Satu undi daripada mantan ataupun ahli UMNO kepada musuh (parti pembangkang) adalah pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama. Itu fahaman dan keyakinan kita.
"Bagi kita Islam itu lebih baik dimartabatkan dalam negara yang pelbagai kaum ini dengan pendekatan kita. Kalau bawah mereka itu lebih menakutkan dan negara tidak mampu, negara pelbagai kaum dan agama tidak mampu melihat bibit perpecahan dengan UMNO," katanya.
Anwar berkata sedemikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin parti bertanggungjawab menerangkan kepada ahli UMNO supaya tidak mendengar nasihat musuh sekiranya ingin menyelamatkan parti dan negara.
"Ini ada mantan menteri UMNO dengar bisikan musuh konon tak ada pilihan untuk selamatkan UMNO kena bersama Pas. Ini fatwa apa?
"Jadi, pastikan kita bekerjasama sebagai pasukan, memang ambil masa, di atas nampak sudah rapat, di bawah masih resah. Tanggungjawab pimpinan kena ada ketegasan dan keberanian, yakin dan sampaikan," katanya.
Justeru, kata beliau, pimpinan PH-BH tidak boleh resah apabila berhadapan agenda lawan, selain perlu tahu cara bagi menyelamatkan parti dan negara dengan membina kekuatan bersama.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan bahawa ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika mereka berkuasa pernah mahukan UMNO diharamkan.
Anwar mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah merancang untuk mengharamkan UMNO selepas berkuasa pada 2018.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau membantah idea itu sekeras-kerasnya, malah ia tidak dipersetujui Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Disebabkan itu, beliau tertanya-tanya kepada ahli UMNO sama ada mahu menyokong Bersatu, yang mana mereka ingin mengharamkan UMNO jika kembali berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!