Padah ekzos bising, lima motosikal kena sita

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan sekumpulan remaja mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising mengundang padah apabila lima motosikal terlibat disita serta 29 saman dikeluarkan menerusi Operasi Samseng Jalanan di kawasan Banting Baru di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bermula jam 2 pagi dan berakhir jam 5 pagi.

"Anggota polis bertugas menjalankan pemeriksaan melibatkan 40 buah motosikal di lokasi berkenaan.

"Operasi dijalankan kemudiannya telah menahan sekumpulan penunggang berumur antara 16 hingga 17 tahun yang didapati mengubah suai motosikal dengan menggunakan ekzos bising sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, sebanyak 29 saman turut dikeluarkan terhadap penunggang-penunggang motosikal terlibat.

"Antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak tampal pelekat L serta P, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan tiada nombor pendaftaran.

"Kesemua motosikal yang ditahan kemudiannya disita bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bagi kesalahan tiada lesen memandu di bawah umur, tindakan diambil bawah Seksyen 39(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan ini akan dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi.

"Jangan mengubah suai motosikal sehingga menyalahi peruntukan undang-undang dan paling penting mengakibatkan gangguan terhadap ketenteraman awam.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahi peruntukan peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!