Anwar ingatkan bekas menteri UMNO lihat cermin, usah berlagak bersih
YAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bekas menteri UMNO yang keluar parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kini bersama pembangkang supaya melihat cermin dan tidak berlagak bersih.
Anwar berkata, ia memandangkan ada fail menunjukkan bekas menteri UMNO mempunyai rekod tidak bersih apabila dikesan melakukan penyelewengan ketika mentadbir negara, namun individu itu bersikap seolah-olah bersih.
Justeru beliau meminta bekas menteri UMNO itu supaya melihat muka di cermin apabila menuduh beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu dan berpura-pura Islam.
"Hang (mantan menteri) tengok muka di cermin. Mantan-mantan menteri ada pernah 'text' pada saya tidak usah bercakap soal rasuah dan tata kelola, minta saya bekerja.
"Itu saya bercakap dengan Elon Musk; hartawan Hong Kong, Richard Lee dan syarikat gas terbesar di dunia, Aramco. Itu hasil kita bekerja sebagai pasukan bersama menteri, jabatan-jabatan kerajaan, pegawai-pegawai, duta semua untuk tingkat ekonomi negara.
"Jadi, mantan menteri ini bercakap seolah kita tak buat apa (sebaliknya) dialah pejuang Islam, pejuang Melayu. Saya kata tengok cermin, tengok rekod, tengok kontrak, tengok berapa tanah kamu ambil, berapa banyak kamu sakau, kamu cakap baik-baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Madani dan Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak di sini, malam Sabtu.
Disebabkan itu, beliau berkata, adalah lebih baik UMNO dibersihkan daripada bekas menteri yang berlagak bersih namun memiliki rekod memalukan.
"Saya dah tengok fail, cakap berdegar-degar, dia pergi ke sana seolah-olah dilindungi. Saya tak peduli, saya dah cakap dengan Tun pun saya lawan, apatah lagi cicak mengkarung," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, bekas menteri UMNO itu tidak seharusnya diberikan peluang.
Dakwa Anwar lagi, bekas menteri itu menerima pelbagai habuan dan membina kekayaan serta harta dalam dan luar negara, namun bertindak keluar dari UMNO selepas tidak mendapat tempat.
"Kemudian, oleh kerana tidak mendapat tempat bukan isu dasar, prinsip (tetapi) isu calon. Katakanlah dia kekal (dalam parti), kemudian Datuk Dr Ahmad Zahid beri senarai orang ini jadi menteri.
"Minta maaf. Tidak layak sama sekali duduk dalam Kerajaan Perpaduan, maka lebih baik UMNO dibersihkan daripada penyangak sebegini," katanya.
Beliau membuat pendedahan itu disebabkan sudah menyampah melihat lagak individu yang berlagak seolah-seolah bersih, sedangkan lebih teruk lagi daripada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!