Team Haq wakili Malaysia ke Phygital Games 2023 di Rusia
TEAM Haq Esport Club, juara Liga Profesional Mobile Legends MY musim ke-10 akan mewakili Malaysia ke kejohanan Phygital Games 2023 yang akan berlangsung di Kazan, Rusia dari 17 hingga 24 Julai ini.
Pasukan Team Haq terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij itu setelah mendapat jemputan khas dari penganjur yang membuat pemilihan berdasarkan prestasi Team Haq di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain Team Haq, tujuh lagi pasukan e-sukan dari negara lain akan bertarung termasuk dari Filipina, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan Kemboja.
Pertandingan tersebut dianjurkan di bawah kejohanan 'Games of the Future' di Kazan, Russia membariskan pelbagai sukan menggunakan pendekatan 'phygital' iaitu gabungan sukan fizikal dan digital.
Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin melahirkan rasa syukur kerana pasukan beliau terpilih menyertai pertandingan di peringkat dunia.
“Ini adalah kejohanan pertama kami sertai di benua Eropah. Sehubungan itu, sudah pasti ia akan memberikan pengalaman berbeza buat kami,” katanya.
Beliau menjelaskan, Team Haq akan menghantar skuad kedua yang digelar Team Haq All Star dan para pemain akan dinilai untuk menentukan sama ada mereka layak untuk menyertai skuad utama apabila jendela perpindahan pemain di Malaysia dibuka nanti.
Menurut Aimanhaq, penyertaan di Rusia itu juga merupakan persediaan untuk pasukan Team Haq menghadapi Regular Season MPL MY Musim ke-12.
“Team Haq bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan akan berusaha sedaya upaya merebut gelaran juara di Rusia,” katanya.
Team Haq All Star akan dibarisi oleh pemain-pemain berwibawa iaitu Lolla, Minnn, Mannn, Nain dan Hitto.
Pusingan kelayakan kedua yang akan disertai Team Haq akan berlangsung pada 20 Julai 2023 dan menawarkan hadiah bernilai AS$50,000 (RM226,000).
Pasukan yang mendapat kedudukan teratas berpeluang menyertai pusingan akhir tahun hadapan dengan jumlah hadiah AS$3 juta (RM13.58 juta).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!