Kerajaan, pembangkang senada tak guna masjid, surau pentas politik
SHAH ALAM - Parti politik bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor senada tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai medan berpolitik kepartian.
Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP), Rodziah Ismail berkata, penegasan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu wajib dipatuhi oleh semua pihak.
Menurut beliau, larangan itu sudah lama dikuatkuasakan di negeri ini dan ia perlu dihormati semua parti politik.
"Ada orang kata, agama tidak boleh dipisahkan dengan politik, tetapi kita mempunyai banyak pilihan seperti tempat dan lokasi lain untuk kita menyuarakan aspek-aspek politik ini.
"Contohnya, kita ada media sosial atau pun di tempat yang boleh kita sewa seperti dewan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Rodziah berkata, ketetapan MAIS itu dibuat adalah bagi menjaga keharmonian selain mengelakkan masjid dan surau sebagai medan kepartian.
"Kawalan itu penting sebelum ia menjadi masalah kepada kita," ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan larangan tersebut dan memastikan calon tidak menjadikan masjid dan surau untuk berkempen politik.
"Sangat setuju dan sepanjang empat kali saya bertanding tidak pernah menggunakan pentas surau dan masjid untuk berkempen," tegas beliau.
Beliau memberitahu, BN juga sejak dari dulu tidak menggunakan institusi agama itu untuk menarik sokongan pengundi.
"Masjid dan surau tempat kita beribadah dan ia tidak sesuailah digunakan sebagai tempat kepartian, memadailah jika khatib sahaja menyampaikan khutbah," jelasnya.
Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, ketetapan itu sudah lama dipatuhi Pas dan yakin calon Perikatan Nasional (PN) di Selangor faham dengan arahan tersebut.
Beliau berkata, PN tidak akan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik dan berharap perkara sama juga dipatuhi parti lain.
"Kita tahu calon PN faham dan akur tentang arahan ini dan tidak menggunakan institusi rumah ibadah untuk berpolitik," tambahnya.
Sinar Harian Khamis lalu melaporkan, MAIS telah membuat ketetapan bahawa masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian.
Sehubungan itu, pentadbir masjid dan surau seluruh negeri diminta mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan semua larangan ditetapkan menjelang PRN Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!